Main di kelab besar seperti Selangor FC bukan mudah – Faisal Halim

652

Pemain Selangor FC, Faisal Halim mengakui mempunyai tanggungjawab yang besar untuk mengukir senyuman di bibir penyokong dengan membawa kejayaan kepada kelab selepas beberapa musim tanpa kejuaraan.

Beliau berkata, pemain profesional tidak lari daripada jangkaan dan harapan tinggi peminat dan memberi kejayaan kepada kelab adalah sebahagian daripada cara untuk membalas jasa mereka.


“Pasukan besar seperti Selangor sudah tentu para penyokongnya mahukan kemenangan dan kejuaraan, sebagai pemain ia bukan tugas yang mudah untuk merealisasikannya.

Apa-apa pun itulah tanggungjawab kita untuk buat penyokong gembira kerana mereka banyak berkorban masa dan wang untuk beri sokongan kepada kami,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Menurut Faisal, para pemain menyasarkan untuk membawa kelab itu ke layak ke kejohanan AFC pada musim 2024.

Katanya, keputusan untuk menyertai Selangor adalah satu keputusan yang besar dalam kariernya dan sedar akan tanggungjawab yang akan digalas untuk membawa kelab itu ke tahap yang lebih baik.

Sementara itu, Faisal yang baru saja dilantik sebagai duta jenama Indonesia, Ortuseight berkata persiapan ketika ini berada dalam keadaan yang baik dan mereka akan melihat keserasian antara pemain dalam perlawanan persahabatan pramusim.

“Setakat ini pasukan Selangor segala-gelanya berada dalam keadaan baik, masih terlalu awal untuk menilai, kami harap dapat bentuk keserasian pada perlawanan pramusim ini.

Apa yang penting adalah kita harus bersedia apabila liga bermula dan kita harungi satu perlawanan demi satu perlawanan.”

Walaupun sudah menyertai Selangor, Faisal berkata dirinya tetap sama seperti dahulu dan tidak menganggap beliau seorang pemain bintang.

Katanya, beliau masih lagi seorang yang senang didekati oleh penyokong dan menghargai segala sokongan yang diberikan kepadanya selama ini.