Kejayaan Hamidin duduki kerusi Ahli Majlis FIFA sekali lagi buktikan ‘sentuhan emas’ TMJ menjadi

675

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin telah mencatat satu lagi sejarah bermakna buat bola sepak negara semalam apabila dipilih sebagai salah seorang Ahli Majlis Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk penggal 2023 hingga 2027 dalam Kongres Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) ke-33 semalam.

Pemilihan Hamidin memegang jawatan tersebut meneruskan kesinambungan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang pernah menjawat jawatan itu pada 2015 hingga 2019.


Dalam ucapannya selepas kejayaan itu, Hamidin turut mengucapkan terima kasih kepada pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim kerana sentiasa memberi sokongan kepada beliau sejak awal memegang FAM.

Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa pada tahun 2018, TMJ merupakan individu yang mencadangkan supaya Hamidin menyambung tugasan baginda sebagai presiden di badan induk bola sepak negara itu.

Perkara itu akhirnya menjadi kenyataan apabila Hamidin sah dilantik sebagai Presiden FAM ketujuh pada Kongres Tahunan FAM ke-54.

Tidak dapat dinafikan bahawa TMJ merupakan seorang figura yang amat penting dalam pembangunan bola sepak negara dan mempunyai ‘sentuhan emas’.

Lihat sahaja bagaimana sebuah kelab bola sepak yang dahulunya ibarat ‘hidup segan mati tak mahu’, Johor FC, yang diberi sentuhan baharu oleh baginda pada 2013 kemudian menjadi kelab terbaik di Malaysia ketika ini dan salah satu yang terbaik di Asia Tenggara serta Asia.

Baginda tahu dan nampak potensi yang ada pada Hamidin untuk membawa bola sepak Malaysia ke satu tahap yang lebih baik, jika tidak, mustahil baginda akan mencadangkan beliau.

Sekarang, apa yang baginda nampak pada Hamidin turut dilihat oleh dunia bola sepak antarabangsa.

Bukan hanya untuk bola sepak Johor dan bola sepak negara, baginda juga turut mahu pasukan lain di Malaysia ini sama-sama bergerak ke hadapan.

TMJ tidak lokek ilmu dan sentiasa menerima kunjungan daripada seteru kelabnya dalam liga yang mahu belajar dengan baginda.

Contohnya, baginda pernah menerima kunjungan delegasi Selangor FC yang diketuai oleh Raja Muda Selangor (RMS), Tengku Amir Shah walaupun kedua-dua pasukan itu merupakan ‘musuh’ dalam liga.

TMJ berkongsi mengenai cara-cara untuk menguruskan kelab bola sepak dengan betul, dan harus diakui bahawa Selangor kini diuruskan dengan lebih baik.

Selangor juga kini semakin berbahaya selepas berada di bawah bimbingan Tan Cheng Hoe, yang mengakui beliau ada meminta nasihat TMJ sebelum mengambil jawatan itu.

Di peringkat kebangsaan juga, baginda pernah mendedahkan bahawa ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon sentiasa menghantar barisan kesebelasan utama kepada baginda terlebih dahulu sebelum setiap perlawanan melalui WhatsApp.

Ini menunjukkan baginda merupakan individu yang dihormati oleh semua pihak yang terlibat dalam bola sepak di negara ini.

Harus diakui walaupun sering dikritik oleh segelintir peminat bola sepak tempatan gara-gara kenyataan ‘pedas’ dan beberapa tindakan yang kurang popular, apa sahaja yang dilakukan oleh baginda hanyalah untuk kemajuan bola sepak Malaysia, dan ia sentiasa membuahkan hasil yang baik.