Walaupun masih ‘budak baru’, JDT jadi pasukan pilihan dalam MPFL, Pahang Rangers dan Selangor MAC ada tugas sukar
Saingan Malaysia Premier Futsal League (MPFL) kini semakin hampir untuk membuka tirai untuk musim 2023 dengan kesemua pasukan kini melakukan persiapan rapi untuk menguatkan persefahaman serta taktikal yang diterapkan oleh jurulatih masing-masing.
18 pasukan berdaftar untuk musim 2023 dengan satu pasukan baru yang menarik perhatian adalah pasukan JDT yang membuat penampilan sulung di dalam saingan MPFL pada musim ini.
Walaupun masih baru di dalam kejohanan ini, namun JDT tidak mengambil mudah dan terus memasang hajat untuk ditabalkan sebagai juara selepas merekrut sejumlah pemain yang berpengalaman serta jurulatih yang terkemuka di eropah.
Ini pastinya memberi cabaran kepada Pahang Rangers dan Selangor Mac selepas JDT mula memasuki arena futsal pada tahun ini.
Jika dilihat dari sudut prestasi semasa, Pahang Rangers tidak mempunyai masalah untuk beraksi dengan cemerlang selepas kemenangan 6 perlawanan tanpa tewas dalam aksi pra-musim.
Ketiadaan beberapa tonggak utama tidak menyebabkan semangat Pahang Rangers semakin luntur malah misi untuk menjadi pasukan terkuat serta meraih trofi buat kali pertama dalam sejarah diteruskan dengan kebolehan pemain kebangsaan terdiri daripada Saiful Nizam Mohd Ali, Ridzwan Bakri dan Farhan Khairul Anuar dan Matheus Gonzales(Brazil) serta Amin Nasrollah Zadeh(Iran) mengisi slot pemain import.
Manakala juara dua kali MPFL, Selangor MAC memasang impian mengenggam trofi kejohanan tersebut buat kali ketiga selepas berjaya meraih gelaran juara pada tahun 2019 dan tahun 2022.
Meskipun kehilangan sejumlah tonggak utama pada musim ini, namun Selangor MAC masih dikuatkan dengan dua pemain yang menjadi tulang belakang Selangor iaitu Syawal Sabaruddin and Khairul Effendy manakala Reza Sepandar dari Iran mengisi slot pemain import pada musim ini.
Dan akhir sekali, pasukan yang pastinya memberi cabaran serta menjadi calon untuk menjuarai MFPL iaitu JDT pastinya membawa pendekatan berbeza walaupun baru pertama kali bersaing di peringkat tertinggi pada musim ini.
JDT memulakan langkah kanan dengan merekrut sejumlah pemain berprofil tinggi seperti Azrul Hadee Mohd Taufiq, Mohd Azwann Ismail, Muhammad Ekmal Shahrin, Muhammad Azri Rahman dari Selangor MAC manakala Abu Haniffa Hasan dan Mohd Awalludin Mat Nawi dari Pahang Rangers.
Difahamkan juga ketua jurulatih JDT, Juanito akan membawa masuk dua pemain import yang masih belum diumumkan untuk terus menguatkan pasukan JDT.
Walaupun barisan pemain masih belum sempurna, namun ini menjadi petanda jelas bahawa JDT akan memberi saingan sengit untuk merebut kejuaraan pada musim ini.
Pastinya saingan MPFL kali ini lebih menarik dengan kehadiran pasukan yang kuat seperti JDT.
Manakala Selangor MAC dan Pahang Rangers pasti mempunyai satu misi iaitu menjulang piala pada musim ini seterusnya memberi cabaran hebat kepada JDT walaupun ramai yang memilih JDT akan memenangi MPFL pada tahun ini.
Semoga berjaya buat semua pasukan yang bertanding pada tahun ini.