Perlawanan malam ini seperti perlawanan separuh akhir Piala Malaysia – Nafuzi Zain

1,451

Ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA), Nafuzi Zain nyata gembira dengan aksi persembahan pemainnya dalam perlawanan Piala Harapan menentang Selangor FC malam tadi.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Batu Kawan, kedua-dua pasukan mempamerkan aksi yang cukup berintensiti tinggi sepanjang tempoh perlawanan, namun Selangor berjaya mara ke perlawanan akhir selepas menang 6-5 dalam penentuan sepakan penalti.


“Perlawanan pada malam ini sangat bagus untuk kedua-dua pasukan, dengan kita lihat intentisi perlawanan cukup tinggi dan untuk skuad saya yang baru dibentuk dapat bermain dengan intensiti seperti ini bukan mudah tapi saya gembira dengan apa yang pemain tunjukkan malam ini.

Saya lihat ada peningkatan dari segi beberapa aspek yang saya ingin lihat,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Nafuzi juga turut teruja melihat jumlah kehadiran penyokong yang cukup ramai walaupun mereka bermain di venue berkecuali.

Saya mahu berterima kasih kepada penyokong kerana saya sendiri tidak menjangka dekat Batu Kawan ini begitu ramai penyokong yang hadir memeriahkan perlawanan dan perlawanan yang berlanjutan sehingga ke penentuan sepakan penalti memberi gambaran seperti perlawanan separuh akhir Piala Malaysia.”

Disebalik aksi baik yang dipamerkan oleh anak buahnya, beliau masih lagi berkata pemain-pemainnya masih lagi perlukan sedikit lagi masa untuk dapat mengikut kehendak taktikal seperti yang dimahukannya.

Tambahnya lagi, buat masa ini beliau masih lagi dalam proses mencuba pemain-pemain dan masih lagi tidak mempunyai barisan kesebelasan utama.

“Ketika ini fokus saya adalah untuk menyiapkan pemain supaya kesemua mereka mempunyai tahap kecergasan yang sama.”

Dalam pada itu, pengendali berusia 44 tahun itu juga memuji persembahan Lee Tuck yang telah mempamerkan permainan yang cukup bertenaga sepanjang tempoh 90 minit permainan.

“Lee Tuck ni sudah lama bersama saya sejak di Terengganu FC lagi, jadi saya sudah tahu komitmen dan work rate beliau, malah kita tidak dapat nafikan dengan usia 34 tahun beliau masih mempamerkan aksi yang cukup hebat lebih dari pemain muda.”

KDA selepas ini akan menentang kelab dari Singapura iaitu Geylang International FC dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat Piala Harapan pada Sabtu ini.

Sebaik sahaja selesai kejohanan ini, skuad Sang Kenari akan terbang ke Turki pada 5 Februari ini untuk menghadapi empat perlawanan pra-musim menentang kelab dari Uzbekistan, Ukraine dan Kazakhstan.