Azraai Khor yakin Nafuzi Zain akan lahirkan ramai ‘ubi-ubi’ muda Kedah

716

Lagenda bola sepak Kedah, Mohd Azraai Khor Abdullah menyuarakan keyakinannya terhadap ketua jurulatih baru Kedah Darul Aman FC (KDA), Nafuzi Zain dalam mengembalikan zaman kegemilangan pasukan itu.

Menurut Azraai, beliau merupakan antara individu paling gembira apabila mendapat tahu khabar angin yang mengatakan Nafuzi bakal ke Darul Aman musim ini kerana kagum dengan hasil kerja jurulatih itu bersama Terengganu FC.


“Khabar angin yang mengatakan Nafuzi akan ke KDA sudah lama dah dan masa berita itu tersebar saya adalah orang paling gembira sekali. Pertama Alhamdulillah bekas pemain saya jadi jurulatih di mana saya sentiasa mengikut perkembangannya yang cukup positif ketika bersama Terengganu.

Di sana beliau banyak develop pemain-pemain muda, jadi bagi saya jika beliau datang ke Kedah dan diberikan masa beliau boleh lakukan sesuatu seperti saya buat dulu iaitu munculnya ramai ‘ubi-ubi’ muda diberi peluang untuk bermain dalam skuad utama,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tambah Azraai lagi, Nafuzi telah membuktikan kemampuannya dalam membangunkan pemain muda ketika bersama Terengganu.

Azraai turut mendedahkan sebaik sahaja Nafuzi menandatangani kontrak bersama KDA, jurulatih berusia 44 tahun itu terus menghubungi beliau untuk memaklumkan perkara itu dan mahu bertemu dengannya untuk meminta nasihat.

“Sebaik saja Nafuzi sign kontrak, beliau hubungi saya untuk maklum dan saya cakap ‘Tahniah dan orang paling bangga sayalah’. Beliau maklum mahu bertemu dengan saya untuk bertanya pelbagai perkara dan saya kata ‘InsyaAllah tiada masalah, untuk orang lain tak tau tapi untuk Nafuzi tengah malam pun kita sanggup turunkan ilmu demi pasukan kesayangan kita’.”

Bagi yang tidak mengetahui, Nafuzi merupakan bekas pemain KDA pada musim 2007 yang ketika itu dikendalikan oleh Azraai di mana mereka berjaya merangkul treble.

Walaupun Nafuzi bukan pemain tonggak, namun Azraai memuji disiplin dan komitmen yang cukup tinggi dipamerkan oleh beliau.

“Nafuzi mempunyai satu karakter yang cukup tenang, fokus dan cukup berdisiplin tinggi. Cuma ketika beliau bersama kita, kebetulan keserasian antara Ahmad Fauzi Shaari dan Nelson San Martin memang tak boleh dipisahkan.

Tapi bila ada kecederaan atau penggantungan berlaku, beliau akan diberi peluang untuk turun beraksi. Secara keseluruhan, beliau mempunyai sikap yang cukup positif dan sentiasa berikan yang terbaik. Beliau juga sentiasa ceria dan jika kita lihat muka beliau sentiasa penuh dengan senyuman.”

Sementara itu, Azraai turut gembira apabila melihat perubahan positif yang berlaku pada pasukan KDA selepas diambil alih oleh Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar.

Azraai berkata, dibawah pimpinan Daud Bakar pasukan KDA kini memperlihatkan banyak peningkatan terutamanya dari segi komersial.

Beliau juga berharap dengan perubahan besar yang dilakukan KDA akan menghasilkan keputusan yang positif termasuk mampu berada pada kedudukan Top 3 musim ini.