Rafael Vitor suarakan keyakinan Penang FC musim ini lebih baik dan mampu beri saingan sengit
Pemain import Penang FC, Rafael Vitor menyuarakan keyakinannya terhadap pasukannya musim ini selepas bermula dengan langkah kanan dalam lima perlawanan persahabatan baru-baru ini.
Rafael berkata demikian apabila skuad Harimau Kumbang pada musim ini berwajah baru apabila hampir 90 peratus adalah pemain baru dan beliau merupakan satu-satunya pemain import dari musim lalu yang dikekalkan.
Malah Penang juga berjaya mara ke perlawanan akhir Piala Harapan selepas menewaskan Geylang International FC 4-0 sekaligus akan bertemu dengan Selangor FC pada Sabtu (4 Februari).
“Kami masih perlukan latihan untuk mantapkan skuad kerana kami mempunyai ramai pemain baru termasuk tiga pemain import dari Brazil dan dengan bimbingan dari Manzoor Azwira.
Dengan kehadiran pemain import dan pemain tempatan berkualiti, saya yakin musim ini pasukan akan pamer aksi lebih baik berbanding musim lalu,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Dalam pada itu, penolong ketua jurulatih Penang, Chong Yee Fatt pula gembira dengan prestasi semasa anak buahnya yang telah memperlihatkan peningkatan positif.
“Kita sudah bermain beberapa perlawanan persahabatan sebelum ini dan melihat pada progress pasukan saya boleh katakan kami semakin bertambah baik dan berada di landasan tepat.”
Perlawanan akhir Piala Harapan membabitkan Penang dan Selangor akan berlangsung di Stadium Batu Kawan pada pukul 8.30 malam.