TCH kecewa kesilapan individu jadi punca Selangor FC tumpas di tangan Penang FC
Ketua jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe meluahkan sedikit kekecewaannya apabila kesilapan individu telah menyebabkan pasukan Penang FC menjaringkan dua gol untuk muncul sebagai juara Piala Harapan 2023.
Selangor bermula dengan garang apabila terlebih dahulu menjaringkan gol pada minit ke-24 menerusi Mukhairi Ajmal untuk memastikan mereka menamatkan separuh masa pertama mendahului pasukan tuan rumah.
“Secara keseluruhan kita masih lagi di peringkat persiapan pra-musim tapi sudah pasti saya berasa sedikit kecewa di separuh masa kedua kita dibolosi dua gol yang berikutan kesilapan individu menyebabkan Penang berjaya menjaringkan dua gol.
Sudah pasti kita akan perbaiki dari semasa ke semasa dan kembali dengan corak permainan kita semula,”
katanya.
Tambah Cheng Hoe lagi, pada perlawanan malam tadi pemainnya kerap hilang bola dan ia berkemungkinan berpunca kerana pemain keletihan pada separuh masa kedua.
Dalam pada itu, Cheng Hoe dan barisan kejurulatihannya ketika ini masih lagi sedang merencana taktikal dan mencari ramuan terbaik untuk cari kesebelasan utama.
“Yang penting ketika ini adalah untuk kita kembali dengan permainan kami dan pada masa sama mencari solusi dan ramuan terbaik untuk kita dapat kesebelasan utama kerana pada kejohanan Piala Harapan ini saya telah bagi peluang kepada semua pemain untuk beraksi dan pada masa sama menilai untuk aksi di Bangkok nanti.”
Sementara itu, bekas pengendali pasukan kebangsaan itu juga mengakui pemain-pemainnya masih belum mencapai tahap kecergasan yang terbaik kerana mereka baru sahaja menjalani latihan pra-musim.
Beliau bagaimanapun yakin dengan kemampuan anak buah untuk meningkatkan prestasi sebelum saingan Liga Super bermula tidak lama lagi.
Selangor akan terbang ke Thailand selepas ini selepas mengatur tiga perlawanan menentang kelab besar di Thai League 1.