Kemenangan malam ini beri bayangan Penang FC adalah sebuah pasukan yang sukar untuk ditewaskan – Soony Saad

402

Penyerang import baru Penang FC, Soony Saad telah menjadi wira buat pasukan apabila dua jaringannya telah berjaya bantu mereka julang Piala Harapan 2023 selepas menewaskan Selangor FC 2-1 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Batu Kawan.

Walaupun ketinggalan 1-0 pada separuh masa pertama, namun separuh kedua Soony meledak dua gol pada minit ke-74 dan ke-88 telah memastikan mereka mengekalkan rekod bersih menang enam perlawanan pra-musim berturut-turut, sekaligus memberi bayangan bahawa Penang adalah sebuah pasukan yang sukar untuk ditewaskan musim ini.


“Kemenangan malam tadi penting untuk menaikkan keyakinan kami dan hari ini anda dapat melihat bayangan bagaimana pasukan Penang akan bermain pada musim ini iaitu sukar untuk ditewaskan.

Saya berasa gembira apabila dapat menjaringkan dua gol pada perlawanan ini kerana pada perlawanan terdahulu saya gagal menjaringkan gol walaupun mempunyai banyak peluang, tapi itulah bola sepak. Ada kalanya hari saya dan ada kalanya bukan hari saya,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Walaupun dua gol beliau menjadi gol kemenangan skuad Harimau Kumbang pada malam ini, namun beliau enggan ambil kredit atas kejayaan tersebut sebaliknya berkata ia adalah usaha rakan sepasukan yang membantunya untuk jaringkan gol.

Susulan dua gol yang dijaringkannya, pemain kebangsaan Lebanon itu telah dinobat sebagai penjaring terbanyak kejohanan tersebut.

Dalam pada itu, beliau dan rakan sepasukannya akan terus menerapkan winning habit bagi memastikan mereka terus konsisten apabila bersaing di Liga Super nanti.

Prestasi cemerlang yang dipamerkan oleh Penang pada pra-musim ini membuktikan bahawa mereka mampu untuk bersaing dengan pasukan-pasukan besar yang lain.

Sementara itu, beliau juga berharap agar peminat Harimau Kumbang akan terus hadir ke stadium untuk memberikan sokongan seperti ribuan yang hadir menyaksikan mereka julang Piala Harapan.