Walaupun dibarisi ramai pemain baru, Shahmi & Syarifuddin yakin futsal Kedah mampu beri saingan sengit pada MPFL 2023

225

Ketua pasukan futsal Kedah, Mohammad Shahmi Abdullah Sani tidak melihat kehadiran ramai pemain baru dalam skuad akan merencatkan prestasi mereka menjelang saingan Malaysia Premier Futsal League (MPFL) musim ini.

Menurut Shahmi, walaupun baru beberapa minggu bermain bersama rakan sepasukan baru, namun beliau mengkui mereka semakin serasi.


“Alhamdulillah, walaupun musim ini Kedah menggunakan gabungan pemain baru dan lama, namun kami tiada masalah untuk cepat mendapat keserasian kerana salah satu faktor adalah mereka ini adalah pemain dari utara,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Sebagai ketua pasukan, beliau sentiasa menuntut rakan sepasukan untuk memberikan komitmen yang tinggi baik dalam latihan mahupun ketika perlawanan persahabatan sebagai persiapan sebelum mengharungi saingan MPFL.

“Saya sentiasa push rakan sepasukan untuk berikan yang terbaik bagi buktikan kemampuan mereka kerana saingan MPFL sangat berbeza dengan kejohanan biasa kerana kualiti perlawanan MPFL sangat tinggi.”

Dalam pada itu, Shahmi turut berkata mereka tiada masalah untuk bermain tanpa kehadiran pemain import kerana percaya dengan kemampuan pemain-pemain tempatan.

Baginya setiap pemain perlu mempunyai mental yang kuat dan tidak mudah menyerah kalah, sebaliknya buktikan yang pemain tempatan juga mampu memberikan aksi yang berkualiti.

Beliau turut meluahkan keyakinannya terhadap skuadnya pada musim ini dan menyasarkan untuk berada pada kedudukan Top 5 pada musim ini.

Terdahulu, Shahmi pernah menyarung jersi pasukan kebangsaan Malaysia untuk Kejohanan Futsal AFC Vietnam pada 2014.

Sementara itu, bagi seorang lagi pemain senior iaitu Muhammad Syarifuddin Md Akhir, beliau mengakui latihan pra-musim kali ini sedikit berbeza kerana mereka perlu menggandakan usaha berikutan kehadiran ramai pemain baru yang kali pertama akan menyertai MPFL.

“Persiapan pasukan Kedah musim ini sedikit berbeza kerana ia dibarisi oleh ramai pemain baru, jadi banyak perkara yang perlu diajar kepada mereka ini kerana ini merupakan kali pertama mereka akan bermain dalam saingan MPFL yang merupakan saingan liga futsal tertinggi di negara.”

Syarifuddin juga senada dengan ketua pasukannya apabila turut berkata pemain-pemain sudah mendapat keserasian setelah beberapa minggu berlatih dan ini merupakan satu perkara yang cukup positif buat skuad Helang Merah.

Perkara itu dibuktikan apabila mereka hanya tewas 3-0 dalam perlawanan persahabatan pra-musim dengan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT)  baru-baru ini yang mana semua sedia maklum skuad dari Selatan itu dibarisi ramai pemain kebangsaan.

Beliau mengakui rakan sepasukan mahu kecapi kejayaan pada saingan MPFL musim ini, tapi sebagai pemain berpengalaman beliau realistik dalam meletak sasaran iaitu menyasarkan untuk berada pada kedudukan Top 6 musim ini.