Kobe Jae Chong tinggalkan AFC Telford United, peluang buat kelab Malaysia sambar serta lengkapkan proses dokumentasi

1,772

Pemain berdarah kacukan Malaysia-England, Kobe Jae Chong, akhirnya sah bergelar ejen bebas selepas menamatkan kontrak beliau bersama kelab AFC Telford United yang berpangkalan di England.

Menurut laporan Pasukan tersebut yang bermain di dalam liga divisyen 6, yang dikenali sebagai National League North, mengambil keputusan untuk menamatkan kontrak Kobe Chong dengan persetujuan bersama.


Kini masa depan beliau masih menjadi persoalan dan khabar angin mengatakan bahawa beliau akan bermain di Liga Malaysia semakin hangat diperkatakan oleh peminat bola sepak.

Untuk makluman, beliau layak untuk mewakili negara England, Jamaica dan Malaysia kerana beliau masih memegang passport United Kingdom, nenek beliau merupakan warga Malaysia manakala ibunya pula merupakan warga Jamaica.

Namun beliau berhasrat untuk mewakili Malaysia selepas beliau mengunjungi Sri Pahang FC pada tahun lalu untuk urusan proses dokumentasi bagi melayakkan beliau untuk mewakili skuad Harimau Malaya.

Beliau juga sempat berjumpa dengan Presiden Pahang Rangers yang juga kerabat diraja, Tengku Fahd Mua’adzam Sultan Haji Ahmad Shah untuk menerima menerima cenderahati istimewa berupa jersi skuad negara.

Malah, beliau juga pernah dipanggil untuk menyertai kem latihan pusat bersama skuad B-19 tahun negara bagi menghadapi saingan AFC B-19 tahun namun tidak dapat berbuat demikian ekoran pandemik Covid-19 yang berlaku di seluruh negara.

Namun sehingga kini, beliau belum membuat kenyataan rasmi mengenai status beliau kerana proses dokumentasi mengambil masa yang lama untuk disiapkan.

Untuk beliau bermain di Liga Malaysia, kelab sekurang-kurangnya perlu mempunyai satu slot import yang kosong memandangkan Kobe Chong masih belum mendapat pasport Malaysia.

Jika dilihat situasi sekarang, skuad Sri Pahang kini mempunyai 6 import untuk menghadapi saingan Liga Malaysia dan masih mempunyai kekosongan 3 slot import untuk pendaftaran pemain musim 2023.

Manakala Johor Darul Ta’zim yang pernah dikaitkan dengan Kobe juga sudah memenuhi slot import dengan kehadiran import baharu seperti Juan Muniz Gallego, Levy Madinda dan Jonathan Herrera.

Selangor FC pula memiliki 7 pemain import dengan kemasukkan pemain baharu iaitu Ayron Del Valle, Rauf Salifu dan Noor Al-Rawabdeh untuk menghadapi saingan Liga Malaysia pada tahun ini dan masih memiliki dua kekosongan slot import yang boleh diisi oleh Kobe sekiranya Selangor berminat untuk mendapatkan khidmat beliau.

Beliau sebelum ini pernah mendedahkan bahawa Sri Pahang pernah berminat untuk mendapatkan khidmatnya, selain beberapa kelab lain di negara ini.

Sekiranya beliau bermain dengan pasukan di Malaysia, mungkin proses dokumentasi yang telah lama tidak dapat diselesaikan akan menjadi lebih mudah.

Walaupun Kobe masih berusia 21 tahun, namun beliau boleh memilih untuk meneruskan karier di Eropah atau bermain di Liga Malaysia memandangkan pengalaman beliau ketika bermain dengan pasukan luar negara boleh menguatkan jentera tengah pasukan.