Sama ada orang dalam sekalipun yang jadi punca jersi tiruan berleluasa, peminat sendiri patut ada kesedaran boikot jersi tiruan
Baru-baru ini telah tular satu isu di media sosial di mana terdapat satu page bola sepak telah mengeluarkan kenyataan yang ada pihak dalam daripada Penang FC telah memberi ‘blueprint’ jersi kelab yang baru untuk dicetak dan dijual sebagai jersi ‘fake‘ atau tiruan.
Page itu turut mendakwa yang orang dalaman tersebut telah menyerah ‘blueprint’ itu kepada pihak pencetak pada 1 Februari, empat hari lebih awal daripada majlis rasmi pelancaran jersi yang jatuh pada 5 Februari.
Namun, pihak pengurusan Penang tidak berdiam diri di mana mereka telah mengeluarkan satu kenyataan media dan menyeru indvidu di sebalik page itu untuk tampil mendedahkan siapa individu yang maksudkan itu.
Mereka juga menegaskan yang jika kenyataan daripada page tersebut hanya sebagai satu kenyataan umum sahaja, mereka menganggap yang ia merupakan salah satu muslihat perang saraf media untuk melagakan pengurusan Penang.
Penang turut menganggap yang taktik seperti ini sudah basi dan lebih memilih untuk bersangka baik sesama sendiri selagi mana tiada siapa yang mahu tampil untuk memberi keterangan.
Selain itu, pihak penaja jersi Penang iaitu Kaki Jersi turut memberi kenyataan mereka berhubung isu berkenaan di mana mereka menganggap yang kenyataan yang dikeluarkan oleh page tersebut adalah spekulasi tidak berasas.
Mereka turut menegaskan yang tiada ‘blueprint’ atau yang lebih tepat ‘soft copy’ reka bentuk jersi yang pernah diberikan kepada mana-mana pihak.
Meskipun kedua-dua pihak ini telah menafikan yang mereka tidak pernah memberi sebarang ‘blueprint’ kepada pihak pencetak, namun harus diakui bahawa jersi tiruan memang sudah menjadi sambutan dalam kalangan rakyat Malaysia sejak dulu lagi.
Disebabkan harganya yang lebih murah berbanding jersi asli, jersi tiruan sering menjadi pilihan buat penyokong bola sepak di negara.
Jersi tiruan juga sering mendapat permintaan yang sangat tinggi meskipun kualiti kain mereka jauh lebih teruk berbanding jersi asli.
Kawasan luar stadium antara kawasan yang menjadi tarikan untuk para peniaga ini menjual jersi tiruan ini.
Walaubagaimanapun, peminat bola sepak tempatan tidak sepatutnya membeli jersi tiruan kerana ia tidak memberi sebarang keuntungan kepada kelab malah mendatangkan kerugian.
Mereka seharusnya mempunyai kesedaran dan menyokong kelab kesayangan mereka dengan memberli jersi asli kerana ia boleh membantu kelab untuk menjana pendapatan menerusi penjualan jersi.
Sebagai contoh, kelab Jepun iaitu Vissel Kobe FC telah menjual jersi asli mereka pada harga ¥35,000 bersamaan RM1,194 untuk jersi edisi pemain dan jersi replika pula berharga ¥20,000 bersamaan RM682.
Meskipun harga jersi mereka terlalu ‘kayangan’, namun penyokong mereka tetap membeli jersi tersebut dan hasil dari keuntungan tersebut akan digunakan untuk kelangsungan kelab serta dapat digunakan juga untuk memenuhi setiap keperluan kelab di dalam dan di luar padang.
Sikap penyokong Jepun itu seharusnya menjadi ikutan penyokong bola sepak Malaysia kerana dengan membeli jersi asli ia dapat membantu kelab.
Disebabkan sudah menjadi kebiasaan peminat dengan bangga memakai jersi tiruan kelab yang mereka sokong, industri jersi tiruan ini sukar untuk diperangi di Malaysia.
Jika semua penyokong mempunyai kesedaran sendiri untuk tidak membeli jersi tiruan, sudah pasti pihak yang terlibat dalam industri jersi tiruan ini ‘tidak senang duduk’.
Diharap penyokong akan terus menyokong industri jersi asli pada masa hadapan.