Hantar penolong jurulatih timba ilmu di Eropah. Kelantan United FC berimpian tinggi, berpotensi jadi pasukan nombor 1 di Kelantan

249

Pada zaman era globalisasi ini, setiap orang perlu menambahkan ilmu dan pengetahuan untuk memastikan setiap perkara yang dilakukan menghasilkan keputusan yang lebih baik.

Itulah yang dilakukan oleh pasukan Kelantan United FC dengan menghantar dua orang penolong jurulatih iaitu Nazrulerwan Makmor dan Tengku Hazman untuk mendapatkan lesen kejurulatihan AFC Pro Diploma di Eropah.


Mereka berdua akan berada di Croatia dan Hungary selama 3 minggu untuk mendalami ilmu berkenaan
kejurulatihan serta mendapatkan lesen untuk memastikan prestasi pasukan berada dalam keadaan terbaik.

Usaha yang dilakukan oleh Kelantan United ini adalah satu contoh yang baik dalam meningkatkan persaingan di dalam arena bola sepak tempatan dengan menghantar staf pasukan untuk pergi ke kursus seperti kursus kejurulatihan dalam usaha untuk meningkatkan lagi ilmu pengetahuan mereka.

Malah ia juga patut dicontohi oleh jurulatih lain dalam memastikan ilmu bola sepak dapat disalurkan
kepada pemain dan pasukan supaya tidak ketinggalan dan turut serta memantapkan pasukan
untuk bersaing dengan lebih kompetitif.

Kelantan United kini dalam persiapan rapi untuk menguatkan pasukan bagi mengharungi cabaran baru di Liga Super pada musim ini.

Skuad yang diberi jolokan Sang Kijang Hijau kini dibimbing oleh bekas jurulatih Penang FC, Tomas Trucha bagi menggantikan ketua jurulatih, Syamsul Saad untuk menghadapi saingan Liga Super sebagai pendatang baru.

Tomas Trucha merupakan nama yang tidak asing lagi di Liga Malaysia dan pernah membimbing pasukan Penang FC selama dua musim dan berjaya membawa pasukan Penang dengan cemerlang selepas menduduki tangga ketiga di dalam Liga Super pada musim 2021.

Namun, beliau gagal membawa Penang untuk berada dalam prestasi terbaik pada musim seterusnya sekaligus direhatkan pengurusan dan dilepaskan oleh kelab pada Mei tahun lepas.

Di bawah kendalian Tomas Trucha, Kelantan United berada dalam prestasi yang agak baik selepas meraih
keputusan positif selepas 4 perlawanan persahabatan.

Dengan catatan 10 gol dan 1 bolos dan 3 ‘clean sheets‘ dalam tiga perlawanan membuktikan skuad Kijang Hijau secara serius untuk menjadi pencabar bagi pasukan lain.

Walaupun skuad Kelantan United dilabel sebagai pasukan ‘underdog’ memandangkan baru dinaikkan pangkat ke Liga Super, namun itu bukanlah alasan untuk memberi kejutan kepada pasukan yang lebih besar.

Malah skuad Kijang Hijau mampu menjadi pencabar kepada Kelantan FC untuk menjadi pasukan nombor satu di negeri Kelantan, seterusnya meraih kepercayaan untuk peminat menyokong skuad Kijang Hijau dengan lebih ramai pada musim ini.

Usaha yang dilakukan Kelantan United wajar dipuji dan juga diteruskan oleh kelab lain dalam menjadikan pasukan bola sepak dapat bersaing dengan lebih hebat.

Malah, setiap pasukan haruslah berwaspada dengan Kelantan United yang pastinya memberi cabaran dengan sentuhan ‘magis’ yang dibawa oleh Tomas Trucha.