Piala Asia sah pada Januari 2024, MFL harus segera rancang kalendar Liga Malaysia, peluang selarikan dengan kalendar AFC
Teka-teki mengenai tarikh penganjuran Piala Asia akhirnya terjawab apabila kejohanan itu diumumkan bakal berlangsung pada Januari 2024.
Kejohanan berprestij itu bakal berlangsung di Qatar dengan 24 pasukan akan menyertainya, termasuk Malaysia.
Namun, di sebalik keterujaan mengenai Piala Asia tersebut masih terdapat satu persoalan yang akan muncul di dalam kalangan peminat bola sepak Malaysia iaitu mengenai tarikh sepak mula Liga Super 2024.
Umum mengetahui, kebiasaanya tarikh sepak mula Liga Super akan bermula pada penghujung Februari dan untuk tahun ini liga bakal membuka tirainya pada 24 Februari serta bakal berakhir pada hujung Disember ini.
Dan selepas saingan liga tamat sudah pasti pemain yang terpilih untuk mewakili negara ke Piala Asia akan menghadiri kem latihan pusat pasukan kebangsaan.
Selepas tamat kempen tersebut barulah pemain akan mendapat rehat dan ia akan menjadi musim yang sangat sibuk untuk para pemain.
Selain itu, persiapan seperti latihan pramusim untuk pasukan Liga Super juga hanya boleh dilakukan selepas kempen Piala Asia berakhir.
Jadi, pihak Malaysia Football League (MFL) harus bertindak segera untuk menyusun jadual sepak mula Liga Super 2024 untuk memudahkan urusan semua kelab Liga Super untuk menyusun jadual mereka terutama untuk latihan pramusim.
Selain itu, faktor keletihan dan kecederaan pemain juga dapat dielakkan kerana pasukan mempunyai masa yang cukup untuk mempersiapkan pasukan mereka menjelang musim baru Liga Super.
Dalam pada itu, jika MFL memutuskan untuk memulakan saingan Liga Super 2024 pada pertengahan tahun ia akan membuka ruang untuk saingan liga mengikuti kalendar Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan juga Eropah.
Permulaan saingan liga pada pertengahan tahun juga akan dapat memudahkan pasukan kebangsaan serta pasukan Liga Super untuk selarikan dengan semua pertandingan di dalam kalendar AFC.
Bukan itu sahaja, saingan liga juga tidak akan terganggu dengan persilisihan terhadap sebarang perlawanan antarabangsa.
Diharap pihak MFL akan segera membuat tindakan berkenaan tarikh sepak mula liga untuk musim hadapan agar semua pasukan Liga Super dapat membuat persiapan dengan baik.