Azmi Muslim: 5 Pemain import terlalu banyak
Pemain berpengalaman Azmi Muslim mengakui kuota lima pemain import dalam setiap pasukan di Liga Malaysia menutup dan menyukarkan peluang untuk pemain tempatan mendapat tempat dalam kesebelasan utama.
Azmi yang beraksi untuk pasukan Penang FC berkata, beliau memahami kuota import penting untuk menaikkan kualiti liga, tetapi jumlahnya terlalu banyak dan perlu dikurangkan.
“Sejujurnya saya merasakan kuota lima import ini terlalu banyak. Saya tahu pemain import ini penting untuk menaikkan kualiti liga kita tetapi ia telah memberi impak kepada pemain tempatan yang sukar bersaing untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama,”
ujarnya kepada Harimau Malaya.
Menurut Azmi lagi, apabila pemain import terlalu banyak mereka akan sudah semestinya akan mengambil posisi-posisi penting. Oleh itu beliau harap kuota pemain import dapat dikurangkan.
“Saya rasa kita patut kurangkan kuota pemain import kepada tiga seperti sebelum ini kerana ia membuka peluang kepada pemain-pemain untuk mendapat tempat sekaligus memberi minit permainan yang sangat penting untuk seseorang pemain.”
Antara salah satu faktor Malaysia ketandusan penyerang adalah kerana majoriti pasukan di Liga Malaysia sering menggunakan pemain import di posisi penyerang.
Tambahnya lagi, sekiranya banyak pemain-pemain tempatan mendapat peluang untuk beraksi, ia secara tidak langsung akan meningkatkan kualiti skuad kebangsaan.
Dalam pada itu, bercerita lanjut mengenai persiapannya bersama Penang FC, Azmi berkata pasukannya sudah pun memulakan latihan mereka baru-baru ini.
Untuk musim 2022 menyaksikan Penang FC akan dibarisi oleh 80 peratus muka baru selepas ramai tonggak utama musim ini telah mengambil keputusan untuk berhijrah ke pasukan lain.
“Boleh dikatakan 80 peratus pemain Penang FC adalah muka baru, jadi saya harap kami dapat membina keserasian sepanjang pra musim ini untuk menghadapi musim hadapan.”
Menjadi salah seorang pemain senior dalam pasukan, Azmi berkata dia sentiasa akan membantu mana-mana pemain tidak kira pemain baru atau import bagi memastikan mereka berasa seperti satu keluarga.
Jelasnya lagi, apabila sesebuah pasukan mempunyai harmoni ia secara tidak langsung akan meningkatkan kualiti permainan mereka.
Untuk musim hadapan Azmi meletak sasaran untuk Penang FC meneruskan kecemerlangan mereka di Liga Super seperti musim ini dan sekurang-kurangnya mara ke peringkat akhir Piala FA atau pun Piala Malaysia.