Pemilik KDA FC mahu penyokong tubuhkan pasukan penyambut tetamu, idea baik namun perlu diperhalusi

1,198

Budaya santuni antara manusia merupakan perkara yang terpuji yang patut dilakukan oleh semua
pihak tidak kira muda atau tua.

Malah budaya menyantuni antara satu sama lain pastinya memberi kebaikan kepada kedua-dua belah
pihak sambil mengeratkan silaturrahim di antara satu sama lain.


Terdahulu, pemilik Kedah Darul Aman FC (KDA), Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar meminta agar penyokong
Kedah menjadi sukarelawan dalam menjadi penyambut tetamu buat pasukan pelawat yang menghadiri Stadium Darul Aman yang dikenali sebagai stadium keramat buat skuad Kedah.

Walaupun ianya membawa kebaikan untuk penyokong Kedah dan penyokong pasukan pelawat, namun sentimen negatif pastinya berlaku terhadap segelintir penyokong kedua-dua belah pihak.

Penyokong pelawat pastinya risau tentang keselamatan diri mereka kerana dikelilingi oleh penyokong tuan rumah.

Ianya lebih teruk sekiranya berlaku pergaduhan sesama penyokong sekiranya pasukan tuan rumah kalah di gelanggang sendiri menentang pasukan lawan.

Malah idea untuk menubuhkan pasukan tersebut dalam kalangan penyokong perlu diperhalusi supaya tiada kejadian yang tidak diingini berlaku.

Alangkah baik sekiranya pasukan tersebut dilantik oleh orang biasa supaya sikap profesional tersemat di dalam diri.

Malah keselamatan penyokong pelawat lebih terjamin tanpa perlu merisaukan tentang keadaan sekeliling stadium dan menonton perlawanan dengan lebih seronok.

Idea untuk menubuhkan pasukan penyambut tetamu merupakan satu langkah yang baik namun perlu diteliti sebelum membuat keputusan agar ianya membawa manfaat kepada dan jaminan keselamatan terhadap kedua-dua belah pihak.