‘Jadi Loh Kean Yew 2.0’ atau main untuk Malaysia, Dania Sofea keliru

4,669

Pemain badminton cilik negara Dania Sofea keliru samada mahu bermain untuk tanah air atau bermain untuk negara Singapura.

Ini kerana Dania memberitahu dia turut mendapat tawaran daripada Persatuan Badminton Singapura (SBA) pada usia yang hampir sama diterima oleh Loh Kean Yew sebelum ini.


“Ayah saya ada beritahu yang pihak SBA ada menunjukkan minat untuk ambil saya, tetapi kalau boleh saya hendak main untuk Malaysia.

Saya juga ada terima tawaran dari pihak Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tetapi bapa saya cakap terlalu awal untuk saya selain belum tentu saya dapat tingkatkan prestasi saya jika ke sana. Jadi buat masa ini saya lebih selesa diuruskan oleh ayah saya,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Sebelum ini BAM seperti terkena tamparan hebat apabila Kean Yew, pemain kelahiran Pulau Pinang yang mewakili Singapura berjaya menjadi Juara Dunia. Tidak cukup dengan itu, terbaru pemain perseorangan lelaki sensasi negara, Lee Zii Jia pula dikhabarkan bakal meninggalkan BAM apabila dikatakan mendapat tawaran lumayan.

Dania merupakan pemain badminton terbaik negara Bawah-14 wanita selepas menang dalam kategori perseorangan dan beregu di Sirkit Remaja Kebangsaan sebelum ini.

Pemain berusia 14 tahun itu juga baru sahaja memenangi gelaran Bawah-15 di kejohanan Purple League Junior.

Nama Dania mula menjadi perhatian ramai sejak dia berusia lapan tahun apabila berjaya merangkul kejohanan dan pada usia 10 dia terpaksa bermain dalam kategori lelaki kerana tiada siapa yang mampu menandinginya.

“Ya saya memang selalu sertai kejohanan badminton terbuka lelaki kerana ia adalah satu latihan yang baik untuk saya tingkatkan mutu permainan saya. Semua sedia maklum pemain lelaki mempunyai stamina tinggi dan pukulan yang deras, jadi ia adalah ‘sparring’ yang bagus untuk saya,”

jelasnya.

Pada 2019, Dania merupakan juara kebangsaan Bawah-12 dengan menyapu bersih Kejohanan Grand Prix Kebangsaan Remaja Akhir dan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM).

Kejayaan paling membanggakan adalah apabila Dania berjaya tumpaskan lima pemain dari China untuk berjaya rangkul kejuaraan di Singapura.

Dalam pada itu, walaupun aktif dalam dunia badminton namun Dania yang bersekolah di SMK (P) Sultan Ibrahim tidak pernah mengabaikan pelajarannya dan ia dibuktikan apabila dia berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam Ujian Peperiksaan  Sekolah Rendah (UPSR) iaitu 4A, 1B.

“Walaupun saya aktif dengan badminton, tetapi saya tidak pernah abaikan pelajaran. Saya akan mula berlatih badminton selepas pulang dari sekolah. Saya berlatih selama lima hari seminggu dengan tempoh tiga jam setiap sesi latihan.”

Dania yang mula mengenali dunia sukan badminton pada usia empat yang mana dia kemudian dilatih oleh jurulatih Albert Lim di Alberts Sports Badminton Academy dan bermain untuk Kelab Badminton Bandar Maharani.

Dania menjadikan pemain badminton wanita Tai Tzu-ying sebagai idola kerana pemain berasal dari Taiwan itu berjaya menjadi pemain nombor satu dunia pada usia 22 dan memegang rekod itu paling lama dalam sejarah Persatuan Badminton Dunia (BWF) selama 185 minggu.

Ketika ini Dania sedang mempersiapkan dirinya untuk menyertai kejohanan-kejohanan yang bakal berlangsung sepanjang tahun 2022.