Saya tiada dalam perancangan Terengganu FC, sebab itu berhijrah ke KL City FC – Tchetche Kipre

419

Pemain KL City FC, Tchetche Kipre mengakui beliau meninggalkan pasukan Terengganu FC kerana tidak berada dalam perancangan pasukan itu pada musim ini.

Menurutnya, beliau memilih KL City setelah ketua jurulatih pasukan, Bojan Hodak meyakinkan beliau untuk bersama naib juara Piala AFC 2022 itu.


“Saya rasa saya tiada dalam perancangan Terengganu, jadi saya buat keputusan untuk berhijrah ke pasukan lain, apa yang penting adalah anda harus gembira walau berada di mana sekalipun.

Saya pilih kelab ini disebabkan jurulatih memberitahu saya bahawa beliau memerlukan pengalaman saya untuk membantu pasukan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Menurut Kipre, beliau juga ada menerima beberapa tawaran daripada kelab lain tetapi akhirnya memilih KL City.

Tambahnya, beliau bersedia untuk bersaing dengan pemain-pemain lain bagi merebut tempat sebagai penyerang utama.

“Di dalam bola sepak tiada apa yang pasti, jadi saya perlu merebut tempat dalam kesebelasan utama kerana kami mempunyai ramai penyerang yang bagus.

Setiap orang boleh melakukan perubahan dalam perlawanan dan ini adalah baik untuk pasukan kerana boleh membuatkan semua pemain bersaing untuk menjadi lebih baik.”

Kipre mengakui setakat ini, keserasian bersama pemain lain masih belum mencapai tahap yang memuaskan tetapi yakin mereka akan membentuk persefahaman yang baik sebelum musim bermula.

Beliau berharap dapat menunjukkan prestasi yang baik bersama KL City dan bercita-cita untuk menyumbang trofi buat pasukan.