Selain cungkil bakat, penganjuran Liga M5 juga mahu didik pasukan jadi lebih profesional

460

Selepas Liga Bolasepak Rakyat (LBR) berjaya mencetuskan fenomena sejak diwujudkan pada 2015 namun ia bagaimanapun tidak bertahan lama apabila saingan liga itu kini sudah ‘hilang’.

Bagaimanapun Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mahu menghidupkan semula liga bola sepak komuniti ini apabila telah menjalin kerjasama dengan SSFC Sports Management untuk menganjurkan Kelantan Football League (KFL) atau dikenali sebagai Liga M5.


Liga M5 adalah sebuah liga amatur yang berada di bawah pengelola liga bola sepak amatur Malaysia iaitu Amateur Football League (AFL).

Menurut Pengarah Urusan SSFC Sports Management, Syah Juan Mohd Nor, penganjuran KFL dengan kerjasama KAFA ini adalah yang pertama melibatkan persatuan bola sepak negeri bagi mencungkil bakat-bakat baru selain mahu mendidik pasukan untuk menjadi sebuah pasukan yang profesional.

“Kami hadir bagi membantu KAFA untuk mengendalikan liga ini kerana kita tahu mereka kekurangan dari segi tenaga dan juga kewangan. Pada masa sama kita juga bantu AFL kerana mereka ada visi dan misi mereka dan kami adalah salah satu pihak yang membawa visi dan misi itu.

Pada pemerhatian saya pada musim lalu, saya melihat persedian pasukan itu masih lagi membawa mindset perlawanan persahabatan sebagai contoh perlawanan bermula 3.00pm tapi pemain-pemain sampai pukul 2.50pm termasuk juga dari segi pemakaian jersi yang tak seragam.

Kita mahu menerapkan apa yang dipraktikkan di Liga M3 yang mana ada countdown to kick-off tapi dalam skala yang lebih kecil. Maknanya pasukan akan sampai awal sejam supaya dapat melakukan sesi warming-up, berarak masuk padang dan menyanyikan lagu Negaraku.

Di sini kita mahu mendidik pasukan untuk menjadi lebih profesional sebagai persedian untuk naik ke atas seperti ke Liga M4 dan Liga M3,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Dalam pada itu, bagi Pengarah Teknikal KAFA iaitu Fauzi Pilus pula berkata penganjuran KFL ini adalah satu platform yang cukup baik untuk mencari dan mencungkil bakat-bakat baru bukan sahaja pemain tetapi juga jurulatih.

Untuk berbuat demikian, beliau dan pasukannya akan masuk ke pelusuk kampung-kampung di Kelantan.

“Saya sebenarnya tertarik dengan liga-liga komuniti kerana kita dapat mencungkil bakat-bakat yang kadang-kadang kita abaikan, maknanya platform itu terhad.  Jika kita melihat liga di Eropah mereka mempunyai sehingga ke divisyen tujuh.”

Tambahnya lagi, penganjuran KFL adalah permulaan untuk memberi ruang dan peluang kepada pemain-pemain muda di mana kita akan dapat mengenal pasti potensi mereka dari awal lagi supaya mereka ini mendapat asuhan lebih tepat sekaligus dapat menyumbang kepada kemajuan bola sepak negara.

Sementara itu, Syah Juan berkata pihaknya akan menganjurkan sekurang-kurangnya tiga lagi Liga M5 di Manjung, Perak, Perlis dan juga Labuan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti.

Malah beliau juga menjangkakan lebih banyak negeri lain akan turut menganjurkan Liga M5 pada tahun ini yang mana ia akan berlangsung dalam beberapa siri sehingga hujung tahun 2023.