Kami tiada bajet besar seperti JDT, Selangor FC dan KDA FC – Bojan Hodak

233

Ketua jurulatih KL City FC, Bojan Hodak mengakui pasukannya tidak mampu bersaing daripada segi bajet berbanding kelab-kelab seperti Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor FC dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC).

Katanya, setiap musim beliau akan cuba untuk membawa pemain-pemain baharu untuk memperkuatkan pasukan tetapi mempunyai bajet yang terhad.


“Setiap tahun kami cuba untuk perkuatkan pasukan dengan membawa pemain-pemain baharu tetapi kami mempunyai bajet terhad, musim ini ada beberapa pemain keluar dan ada juga yang masuk.

Bajet kami bukan seperti JDT, Selangor atau Kedah, kami jauh lagi daripada mereka,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Menurut Hodak, beliau menyasarkan untuk membawa KL City menamatkan saingan liga di posisi yang lebih baik daripada musim lalu iaitu di kedudukan lima teratas.

Selain itu, beliau juga mahu memastikan KL City kembali ke saingan Piala AFC pada musim 2024 selepas melalui kempen cemerlang pada Piala AFC 2022 dengan menjadi naib johan.

Dalam pada itu, beliau tidak berjanji akan memberikan minit permainan yang banyak kepada pemain muda, Haqimi Azim dan penjaga gol kebangsaan, Azri Ghani.

“Saya tak boleh janji apa-apa tetapi berdasarkan persembahan musim lalu, mereka mempunyai potensi yang baik.

Mereka akan ada peluang untuk bermain tetapi akhirnya pemain yang terbaik yang akan dipilih untuk berada dalam kesebelasan utama.”

Hodak berkata, dengan penambahan beberapa pemain di bahagian serangan musim ini, beliau menyasarkan untuk menerapkan gaya permainan yang lebih menyerang dan menjaringkan lebih banyak gol.

Jelasnya, pemain-pemain baharu setakat ini telah menyesuaikan diri dengan baik bersama rakan-rakan baharu, dan percaya akan membentuk keserasian yang baik selepas beberapa sesi latihan dan perlawanan persahabatan lagi.