Kemungkinan besar skuad Harimau Malaya akan bermain di SSI – Noor Azman Rahman

1,585

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Noor Azman Rahman memberi bayangan pasukan kebangsaan berkemungkinan besar akan menggunakan Stadium Sultan Ibrahim (SSI) sebagai home untuk perlawanan persahabatan pada bulan Mac depan.

Menurut Noor Azman, pihaknya mempunyai beberapa pilihan stadium yang boleh digunakan skuad Harimau Malaya dan keputusan untuk stadium mana yang akan dipilih akan diumumkan dalam masa terdekat.


“Kemungkinan besar akan bermain di SSI, tapi Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (Terengganu) juga berada dalam radar kita termasuklah Stadium Batu Kawan (Pulau Pinang).

katanya.

Berdasarkan pilihan stadium yang disenarai pendek, stadium milik juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) adalah yang terbaik kerana mempunyai fasiliti bertaraf antarabangsa.

Dalam pada itu, bercakap mengenai pasukan lawan yang akan menentang skuad kendalian Kim Pan-gon pada bulan Mac ini, beliau berkata pihak mereka masih lagi memuktamadkan perkara tersebut.

“Kita belum finalized lagi termasuk venue kerana perkara itu masih dalam peringkat perbincangan lagi dan akan masuk dalam mesyuarat jawatankuasa pasukan kebangsaan dan kita akan umumkan pada awal bulan Mac.

Mengenai pasukan lawan pula apa yang saya boleh katakan pasukan itu okaylah.”

Jelasnya lagi, pasukan yang akan menjadi lawan skuad negara adalah pilihan dari ketua jurulatih sendiri.

Sementara itu, Noor Azman yang ditanya berapakah pasukan yang menyertai kejohanan Pestabola Merdeka pada tahun ini berkata perkara itu masih lagi belum dapat disahkan buat masa ini termasuk pasukan India yang sebelum ini bersetuju untuk menyertai kejohanan itu.

“Itu mereka (India) yang setuju tapi FAM belum sahkan lagi. Kita memang terbuka tapi untuk perkara ini kita serahkan kepada ketua jurulatih sebab beliau pastinya mempunyai kriteria-kriteria yang dimahukan untuk pasukan lawan.”