Kenali Kyaw Min Oo, ‘senjata’ terbaru PDRM FC

393

Polis Diraja Malaysia FC (PDRM) membawa masuk pemain import baru yang akan bermain di posisi tengah,  Kyaw Min Oo untuk memperkuatkan pasukan bagi saingan Liga Super 2023.

Berusia 26 tahun, beliau pernah beraksi bersama pasukan Ayeywady United dan pasukan Yangon United di Myanmar National League.


Beliau mula mewakili negara untuk kejohanan Piala AFF B-16 tahun namun kualiti permainan yang dipersembahkan oleh beliau menarik perhatian jurulatih sehingga berjaya mewakili skuad senior Myanmar ketika berusia 18 tahun.

Beliau juga menjadi watak penting apabila bermain di dalam kesemua perlawanan untuk pasukan B-20 tahun ketika Myanmar menyertai kejohanan Piala Dunia B-20.

Walaupun tewas dalam kesemua perlawanan, namun beliau dan pasukan Myanmar telah menimba pengalaman yang cukup berharga kerana mereka menentang pasukan gergasi seperti Amerika Syarikat, Ukraine dan New Zealand.

Karier beliau dalam dunia bola sepak hampir musnah apabila mengalami beberapa siri kecederaan serius, namun dengan bantuan seorang ahli perniagaan terkemuka Zaw Zaw, Min Oo kembali pulih dan menyertai kelab Yangon United musim lalu.

Kebangkitan luar biasa beliau juga menyaksikan dirinya terpilih untuk beraksi bersama pasukan kebangsaan Myanmar pada kejohanan Piala AFF 2022 di mana beliau diturunkan dalam kesemua perlawanan.

Prestasi cemerlang yang dipamerkan oleh pemain berusia 26 tahun itu telah memikat pasukan PDRM yang menandatanganinya untuk musim 2023.

Selain Min Oo, skuad Sang Saka Biru turut merekrut beberapa lagi pemain import bagi memastikan mereka mampu memberi saingan dalam Liga Super.

Pembelian pemain muda ini dilihat sebagai satu langkah yang cukup bijak dari pihak pengurusan kerana mereka sedar akan kekuatan kewangan mereka sendiri atau lebih tepat lagi mereka ‘ukur baju di badan sendiri’ bagi memastikan mereka tidak berdepan masalah tunggakan gaji.

Bagaimanapun masih terlalu awal untuk menyatakan samada percaturan yang dibuat oleh ketua jurulatih Azmi Aziz berjaya atau tidak kerana saingan liga masih belum bermula.

Tambahan pula ini merupakan kali pertama beliau bermain di luar negara, oleh itu penyokong sudah pastinya berharap agar beliau dapat cepat serasi bersama rakan sepasukan yang lain.

Mampukah PDRM melakukan kejutan pada musim ini? Sama-sama kita tunggu.