Christian Rontini terima ugutan bunuh selepas sertai Kelantan FC, sikap tidak bertamadun peminat jejas bola sepak tempatan

791

Baru-baru ini, pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman atau Zamsaham mengecam tindakan seorang ‘penyokong’ yang melakukan ugutan bunuh kepada pemain import baharu pasukan itu, Christian Rontini melalui mesej peribadi di Instagram.

Zamsaham memuatnaik tangkap layar yang jelas menunjukkan penyokong itu mengatakan bahawa sekiranya pemain berusia 24 tahun itu tidak bermain dengan baik bersama kelab itu, beliau akan mati.


Ini adalah satu perkara yang amat keterlaluan serta jelas sekali melanggar undang-undang dan boleh dihadapkan ke muka pengadilan.

Ia juga boleh menyebabkan moral pemain itu menurun dan boleh mengganggu fokusnya di atas padang kerana perkara ini melibatkan keselamatan dirinya.

Zamsaham menyifatkan tindakan tersebut sebagai suatu perbuatan yang melampau dan sudah pastinya tidak akan dipandang remeh.

Beliau kemudiannya melakukan tindakan susulan dengan meminta pihak pengurusan untuk bekerjasama dengan pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam memastikan tindakan seperti itu mendapat hukuman yang sewajarnya.

Tindakan Zamsaham dan Kelantan FC yang peka terhadap perkara yang berlaku jelas perlu diberikan pujian dalam usahanya memastikan kebajikan pemain-pemainnya terbela.

Sebagai pemilik, beliau sendiri yang mengambil tanggungjawab untuk melindungi para pemainnya dan memastikan ‘virus’ yang cuba mengganggu mereka akan menerima balasan.

Persoalannya kini, adakah wajar untuk memiliki mentaliti sebegini dalam usaha untuk meningkatkan kualiti liga di Malaysia ini?

Mentaliti segelintir penyokong yang sukar menerima kekalahan sehingga melakukan keganasan jelas akan merosakkan imej pasukan tersebut dan juga imej liga di Malaysia ini dan hal ini perlu disusuli dengan tindakan yang tegas agar tidak berulang lagi.

Kita juga tidak mahu mentaliti ini terus merosakkan sukan bola sepak di Malaysia malah sikap penyokong yang bertamadun harus diterapkan seperti penyokong Korea Selatan yang mana masih menunjukkan nilai murni yang ada dalam diri mereka dengan menyambut para pemain secara meriah walaupun selepas pasukan mereka tersingkir daripada Piala Dunia baru-baru ini.

Selagi masih ada mentaliti ‘sampah’ seperti ini dalam kalangan peminat, sukar untuk bola sepak melangkah lebih jauh.