Sah Chiew Chun Yong bukan lagi pengendali skuad futsal negara, FAM bakal bawa pengendali dari luar negara

529

Setelah lama berteka-teki mengenai status Chiew Chun Yong sebagai ketua jurulatih futsal Malaysia akhirnya terjawab juga apabila skuad futsal negara disahkan bakal mempunyai ketua jurulatih yang baru.

Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Noor Azman Rahman yang menyatakan pihaknya kini sedang meneliti nama beberapa calon yang akan mengendalikan skuad futsal negara.


“Untuk calon ketua jurulatih futsal memang dalam perancangan kita yang mana kita akan ambil calon (ketua jurulatih) dari luar, jadi kita akan interview tiga atau empat orang untuk menilai dan memutuskan calon mana yang sesuai untuk dalam skuad futsal,”

katanya.

Terdahulu, skuad futsal negara pulang dengan hampa apabila menamatkan saingan di peringkat kumpulan pada kedudukan tercorot di Sukan SEA Hanoi.

Malah prestasi hambar yang dipamerkan oleh skuad futsal negara juga menyaksikan mereka gagal menang dalam satu perlawanan pun.

Dalam pada itu, Noor Azman turut memberitahu bahawa pada tahun ini FAM telah mempunyai perancangan untuk memperkasa program pembangunan akar umbi futsal susulan sukan tersebut kini mendapat sambutan sejak beberapa musim kebelakangan ini.

Malah, satu kejohanan Liga Suparimau Futsal akan dianjurkan sama seperti format Liga Suparimau (bola sepak padang).

“Untuk pembangunan akar-umbi memang kita sudah ada beberapa perancangan yang mana salah satu perancangan kita adalah untuk mewujudkan Liga Suparimau Futsal yang mana kita akan mula jalankan dalam tempoh sebulan atau dua bulan lagi.”

Tambahnya lagi, pembangunan akar umbi futsal ini adalah untuk melahirkan lebih ramai bakat muda futsal yang bakal menyarung jersi negara satu hari nanti.