Minat Arsenal dan Thierry Henry, Hannah Yeoh memang ada pengetahuan tentang bola sepak, bukan hanya ‘tin kosong’

559

Walaupun pada mulanya pelantikannya sebagai Menteri Belia dan Sukan dipandang skeptikal oleh sebilangan pihak, Hannah Yeoh membuktikan bahawa beliau juga mampu menggalas jawatan yang sering didominasi oleh lelaki itu.

Ramai yang menganggap beliau tidak layak menggalas tanggungjawab itu kerana tidak mengetahui apa-apa tentang sukan, tetapi ternyata tanggapan itu salah.


Menjawab persoalan di laman Twitter, Hannah berkata bahawa legenda Arsenal, Thierry Henry merupakan pemain kelab itu yang paling diminatinya.

Ini menunjukkan bahawa beliau sememangnya mempunyai minat terhadap bola sepak terutamanya Arsenal sejak dari dahulu lagi.

Jarang sekali orang yang tidak tahu apa-apa tentang bola sepak mengenali legenda seperti Henry.

Jawatan menteri Belia dan Sukan merupakan antara jawatan yang sukar kerana banyak tugasan yang perlu dilakukan di samping rakyat menjadi pemerhati di atas setiap tugasan yang dilakukan oleh seorang menteri demi kecermelangan Malaysia dalam arena sukan.

Ahli Parlimen Segambut itu dipilih untuk menjawat jawatan Menteri Belia dan Sukan pada akhir December 2022, menjadikan beliau wanita kedua yang menjawat jawatan itu selepas Datuk Seri Azalina Othman Said.

Setakat ini, boleh dikatakan bahawa beliau telah menjalankan tugasnya dengan baik, menyelesaikan beberapa isu dan perkara berbangkit terutama daripada peminat sukan.

Terdahulu, Hannah Yeoh pernah menyelesaikan isu tentang harga tiket sewaktu kejohanan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 selepas tiket yang pada asalnya berharga RM50 diturunkan sehingga RM30 supaya penyokong Harimau Malaya boleh menyaksikan perlawanan di stadium dengan harga yang berpatutan.

Beliau juga sempat menghadirkan diri ke stadium untuk melihat secara langsung perlawanan Harimau Malaya ketika menentang pasukan Singapura dan Thailand bersama Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin.

Hannah Yeoh juga sentiasa menjaga kesihatan walaupun beliau sibuk dengan tugasan dan menjadikan sukan sebagai aktiviti riadah yang menyihatkan badan.

Ini terbukti selepas beliau menganjurkan program di bawah kelolaan Institut Sukan Negara (ISN) yang menggalakkan orang ramai terutama golongan pekerja yang bekerja di Putrajaya untuk sama-sama bersenam untuk menjadikan badan lebih sihat.

Malah program yang dianjurkan oleh Hannah Yeoh mampu memberi kesedaran kepada orang ramai terutama golongan bekerja bahawa pentingnya melakukan senaman walaupun sibuk dengan tugasan seharian.

Walaupun baru ditugaskan sebagai Menteri Sukan selama tiga bulan, namun beliau masih lagi bekerja kuat tanpa mengenal erti penat dan lelah serta sentiasa memberi komitmen penuh terhadap setiap tugasan yang beliau lalui.

Semoga Hannah Yeoh mampu membawa arena sukan di Malaysia ke tahap lebih tinggi dan juga menaikkan kualiti dan mutu sukan ke arah yang lebih baik.

Please rotate your device
Continue in browser
To install tap Add to Home Screen
Add to Home Screen