Liridon Krasniqi ke Terengganu FC, perkuat pasukan atau hanya sekadar memenuhi kuota?
Baru-baru ini, salah seorang pemain Terengganu FC, Hakimi Abdullah telah memuatnaik video berdurasi pendek di akaun Instagram miliknya namun apa yang menarik perhatian peminat bola sepak apabila terlihat kelibat Liridon Krasniqi yang makan bersama pasukan.
Semua sedia maklum Liridon atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Don merupakan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) yang sering dipinjamkan ke luar negara dan selepas beliau tidak lagi bersama Khon Kaen United FC membuatkan ramai yang tertanya-tanya ke mana destinasi terbarunya.
Ini kerana berdasarkan latihan pra-musim JDT, Mat Don tiada dalam perancangan pasukan itu untuk musim ini sekaligus membuatkan ramai peminat yang menjangkakan beliau akan sekali lagi dipinjamkan tetapi tidak tahu kelab mana yang jadi destinasi terbaru.
Susulan video dan foto yang tersebar di media sosial ia seperti sudah sah dan kini mungkin hanya menunggu pengumuman rasmi daripada pihak pengurusan Terengganu.
Adakah Mat Don akan diperkenalkan semasa majlis pelancaran jersi skuad Sang Penyu dalam masa terdekat ini.
Ketika ini pasukan dari Pantai Timur itu berada di Thailand untuk menjalani beberapa perlawanan pra-musim di sana.
Jika benar Mat Don ke Terengganu, pemain naturalisasi negara itu umpama ‘reject player’ dari JDT berikutan masih gagal mendapat tempat dalam skuad Harimau Selatan itu walaupun sudah beberapa tahun bersama kelab itu.
Apa pun tanggapan penyokong, kehadiran Mat Don ke Liga Super pastinya mencetuskan keterujaan segelintir penyokong yang merindui aksi lincahnya di atas padang dan berharap beliau dapat mempamerkan aksi memukau seperti yang dilakukannya ketika bersama Kedah Darul Aman FC sebelum ini.
Persoalannya kini adalah mampukah Mat Don dapat menyesuaikan diri dengan taktikal ketua jurulatih Tomislav Steinbruckner?
JIka jawapannya ya, Terengganu bakal mempunyai ‘arkitek’ di bahagian tengah yang cukup kreatif dan berbahaya buat pihak lawan, tapi jika tidak beliau berkemungkinan akan sekali lagi kerap memanaskan bangku simpanan dan menjadi pemain ‘backup’ sahaja.
Apa pun sama-sama kita tunggu penggumuman rasmi dalam masa terdekat ini dan jika ia menjadi kenyataan pasti ramai yang tidak sabar apa yang mampu dilakukannya bersama Terengganu musim ini.