Astro, NJOI dan Sooka tawar pelbagai pakej tonton Liga Malaysia 2023, berbaloikah pakej yang ditawarkan?

1,952

Penyiar rasmi Liga Malaysia musim 2023, Astro telah mengeluarkan senarai platform untuk menonton saingan tersebut bermula dengan perlawanan Piala Sumbangsih pada 24 Februari ini.

Peminat boleh menonton di siaran Astro sendiri, atau pun dua lagi platform iaitu NJOI dan Sooka dengan bayaran tertentu.


Bagi pelanggan yang sudah mempunyai Pek Sports, mereka boleh menonton Liga Malaysia tanpa sebarang caj tambahan, manakala bagi mereka yang tiada pula, boleh berbuat demikian dengan melanggan Liga Malaysia pada harga RM9.99 sebulan (harga pengenalan RM4.99 selama tiga bulan).

Manakala untuk mereka yang menggunakan platform NJOI pula, mereka boleh membeli Pek Liga Malaysia pada harga RM29 selama 30 hari atau Pek Sports Mega Baharu pada harga RM70 selama 30 hari.

Bagi platform Sooka pula, peminat boleh melanggan Pas Single Match pada harga pengenalan RM4.90 untuk satu perlawanan atau melanggan Pas Liga Malaysia pada harga RM28.90 sebulan.

Pengenalan harga tersebut mendapat reaksi yang pelbagai daripada peminat bola sepak tempatan, denga nada yang menyambut baik tawaran yang diberikan dan ada juga yang merasakan pakej-pakej yang ditawarkan terlalu mahal.

Selepas menikmati semua perlawanan secara percuma di saluran YouTube Unifi musim lalu, sudah pasti ramai pihak yang sudah selesa dengan perkhidmatan percuma yang mereka nikmati.

Dijangkakan, jumlah penonton yang akan menyaksikan perlawanan Liga Super di hadapan skrin akan berkurangan pada musim ini berbanding musim lalu kerana pertukaran penyiar rasmi daripada Unifi.

Harus diakui masih ramai peminat bola sepak Malaysia yang tidak sanggup melabur untuk menonton perlawanan bola sepak tempatan.

Namun, bagi mereka yang keberatan untuk mengeluarkan wang bagi menyaksikan saingan Liga Malaysia, mereka boleh beralih kepada Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang juga akan menyiarkan secara langsung perlawanan Liga Malaysia.

Cuma, stesyen tersebut hanya akan menyiarkan 75 perlawanan sahaja dan masih belum dipastikan perlawanan apa yang akan disiarkan.

Mungkin bagi mereka yang sudah melanggan Astro, tambahan RM9.99 boleh dipertimbangkan, tetapi bagi pakej yang lain nilai tersebut mungkin besar.

Walaubagaimanapun, peminat yang hanya mahu menonton pasukan kegemarannya beraksi boleh memilih untuk berbuat demikian dengan membeli Pas Single Match yang ditawarkan Sooka, justeru tidak perlu melabur untuk perlawanan pasukan lain juga.

Adakah berbaloi untuk membuat bayaran tambahan bagi menonton saingan Liga Malaysia di kaca televisyen atau skrin telefon? Tepuk dada tanya selera.