Isu kekangan siaran perlawanan KDA FC di Turki, KDA TV tampil dengan solusi buat peminat

521

Baru-baru ini Kedah Darul Aman FC telah bangkit dengan satu inisiatif yang baik dalam usaha mengeratkan hubungan di antara pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC dengan peminatnya dengan mewujudkan satu platform penstriman secara langsung yang dikenali sebagai KDA TV di laman Facebook.

KDA TV kemudian menjadi platform buat peminat Sang Kenari untuk mengikuti rapat perkembangan pasukan kesayangan mereka yang menjalani perlawanan pra-musim di Antayla, Turki dari 5 hingga 15 Februari.


Namun keterujaan peminat terbantut apabila siaran langsung berbayar (pay per view) telah mengalami masalah teknikal termasuk tidak dapat akses walaupun sudah membuat pembayaran dan ini telah menyebabkan ramai yang berang.

Dengan harga langganan bagi satu perlawanan yang mencecah sehingga RM 15.00, dan pembelian secara ‘bundle’ bagi keempat-empat perlawanan RM 50.00, pelanggan sudah pasti mahu melanggan untuk menyaksikan perlawanan tersebut dan bukan mahu mendengar sebarang masalah atau alasan.

Menyedari permasalahan itu, pihak pengurusan KDA telah tampil membuat kenyataan notis bagi menjelaskan situasi yang dihadapi mereka ketika ini dan cuba menyelesaikan segala isu yang berlaku termasuk akan menghubungi pelanggan yang tidak dapat akses untuk proses pemulangan wang semula.

Namun tidak dapat dinafikan bahawa pihak KDA juga bertindak profesional dalam memastikan pisang tidak berbuah dua kali dalam memastikan kesilapan yang sama tidak berulang lagi.

Jelas tindakan KDA wajar dipuji dalam menjelaskan mengenai masalah yang berlaku dan dalam masa yang sama memberikan solusi bagi masalah yang terjadi agar pelanggan yang melanggan KDA TV berpuas hati dan terus melanggan KDA TV.

Sudah pasti tindakan tersebut bagi memastikan hubungan antara KDA dan peminatnya  kekal utuh dalam memastikn pasukan itu kekal gah dengan sokongan peminat yang padu.

Ini kerana tiada guna sekiranya pihak kelab dan peminat bertelagah kerana dalam dunia bola sepak, kelab perlukan peminat, dan peminat juga perlukan kelab.

Apa yang berlaku ketika ini boleh dijadikan pengajaran yang cukup bermakna untuk pihak KDA TV untuk cuba memperbaiki segala kelemahan dan meningkatkan kualiti perkhidmatan mereka.

Mungkin boleh buat siaran langsung di saluran YouTube pula selepas ini?