Isu agama atau perkauman tak perlu wujud dalam dunia sukan

606

Isu perkauman merupakan isu yang tidak asing lagi dalam industri sukan di seluruh negara yang mana hadir dalam pelbagai cara yang tidak dijangka.

Ini kerana masih lagi wujudnya segelintir pihak yang masih berfikiran ‘kolot’ dalam mencampur adukkan sesetengah isu yang sensitif seperti isu agama dalam bola sepak.


Belum pun reda dengan kontroversi membabitkan komen berbaur perkauman daripada atlet hoki negara baru-baru ini, kini timbul satu lagi kontroversi membabitkan isu agama pula.

Kontroversi itu melibatkan seorang guru yang didakwa menggunakan sentimen agama terhadap seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun jika remaja itu mahu menyertai pasukan bola sepak.

Ternyata isu seperti ini sangat serius kerana ia membabitkan kanak-kanak di bawah usia 18 tahun yang mana mereka masih di bawah pemantauan ibu bapa dan tidak wajar sekiranya dipaksa melakukan keputusan sendiri tanpa pengetahuan ibu bapanya terutama sekali berkaitan isu agama.

Isu ini turut mendapat perhatian ramai termasuk bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq yang nyata berasa jijik dengan tindakan guru tersebut yang mencemarkan imej sebagai seorang guru yang mana tugasnya sepatunya mendidik pelajar menjadi insan berguna dan bukan sebaliknya.

Malah, bekas ketua jurulatih pasukan kebangsaan, B. Sathianathan turut tampil mengulas mengenai isu tersebut dengan mendedahkan bahawa isu agama dalam sukan bola sepak sudah lama wujud.

Oleh itu, satu siasatan perlu dilakukan bagi mencari jawapan mengapa isu seperti ini masih berleluasa dalam industri sukan. Adakah isu ini dipandang enteng oleh segelintir pihak?

Bagi individu yang melakukan kesalahan seperti itu patut diberikan hukuman tegas termasuk melarang beliau dari terlibat dalam industri sukan jika didapati bersalah.

Tindakan tegas seperti ini wajib dilaksanakan bagi memastikan usaha negara untuk melahirkan atlet-atlet berkelas dunia dari pelbagai latar belakang tidak kira bangsa dan agama tidak terjejas.

Ini bukan kali pertama kontroversi membabitkan guru kerana sebelum ini seorang guru dikenakan tindakan gantung selepas videonya menampar pemain-pemain dalam satu kejohanan bola tampar telah tular.

Walaupun kesalahan itu tidak boleh diterima, hukuman penggantungan untuk satu tempoh boleh dikenakan bagi memberi pengajaran kepada guru tersebut.

Tetapi apabila ia melibatkan soal agama, tindakan penggantungan seumur hidup perlu dikenakan kerana manusia boleh mengubah sikap dari semasa ke semasa, tetapi apabila ia melibatkan mentaliti ia adalah perkara yang berbeza kerana ia amat mustahil untuk diubah kerana ia merupakan kepercayaan dan gaya hidup seseorang individu itu.

Kesimpulannya, agama harus dibela namun sukan merupakan hal yang umum bagi semua bangsa dan agama yang harus kita bela agar tidak disalahguna oleh segelintir pihak.