KLFA dan Rinani Group, apa yang sedang berlaku dengan KL City FC?

1,121

Baru-baru ini penyokong KL City FC mendapat berita gembira apabila mendapat pemilik kelab baru yang merupakan ahli perniagaan terkemuka Rinani Group iaitu Azri Azerai.

Majlis menandatangani pemilikan saham kelab itu telah berlangsung baru-baru ini dengan syarikat Rinani Group dikhabarkan membeli 51 peratus saham kelab itu secara tidak langsung menjadi pemilik kelab KL City sekaligus mempunyai hak dalam mengatur hala tuju bagi kelab itu.


Bagaimanapun, muncul pula persoalan baru apabila Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Samad menyatakan bahawa pemilikan Rinani ke atas KL City masih lagi belum rasmi dan KLFA masih lagi pemilik The City Boys.

Tanda tanya terus bermain di fikiran berkaitan bagaimanakah perjanjian tersebut boleh dijalankan tanpa pengetahuan Khalid Samad yang dikatakan masih lagi memiliki kelab itu.

Spekulasi demi spekulasi terus bermain di fikiran penyokong dan peminat bola yang mana isu ini dapat dikira sebagai sesuatu yang memeningkan kepala.

Bagaimanapun semakan di laman Twitter milik Azri memperlihatkan beliau telah tampil menjelaskan bahawa dokumen yang ditandatangani sebelum ini adalah term sheet (legally binding) dan deposit juga sudah dibayar.

Dengan ini ia bermaksud apa yang dinyatakan oleh Khalid adalah benar dan KLFA masih lagi pemilik KL City selagi proses pengambilalihan belum selesai.

Melihat pada situasi ini, rasanya ia hanya salah faham sahaja dan bukan isu yang perlu diperbesarkan.

Ini merupakan satu perkembangan yang cukup positif buat pasukan naib juara Piala AFC 2022 kerana dengan kehadiran pemilik baru, KL City pastinya akan menjadi lebih baik dan mungkin mereka mampu menjadi pencabar utama Liga Super musim ini.