Pemain ragbi OKU Malaysia sukar bersaing di peringkat dunia kerana kelengkapan tidak setanding – Hafiz Haikal
Atlet Ragbi OKU kebangsaan, Hafiz Haikal mengakui Malaysia sukar untuk bersaing dengan lawan di peringkat dunia kerana kelengkapan yang tidak setanding.
Beliau berkata, atlet ragbi di negara-negara besar mempunyai kerusi roda yang berteknologi yang tinggi, memberi sedikit kelebihan untuk mereka.
“Di peringkat dunia tu memang agak sukar untuk lawan kerana atlet mereka mempunyai kerusi roda yang lebih baik.
Contohnya kami perlu menggunakan tenaga yang lebih untuk menolak kerusi roda kami, tetapi mereka pula hanya tolak dengan perlahan sahaja,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Selain daripada teknologi kerusi roda, beliau berkata, fizikal juga menjadi salah satu faktor sukar untuk bersaing.
Tetapi di peringkat Asia Tenggara dan Asia, Malaysia masih boleh memberi saingan yang baik dan pernah memenangi pingat gangsa pada Suka Para Asia.
Sementara itu, beliau berkata sukar untuk mencari pelapis baharu dalam sukan ragbi kerana tidak ramai yang menonjolkan diri.
“Nak cari pemain baharu untuk ragbi OKU di negara ini memang sukar, ada yang malu untuk ke hadapan.
Selain itu, ragbi OKU juga dikhususkan untuk mereka yang mempunyai masalah tangan yang lemah jadi susah juga untuk cari individu yang sama seperti kami.”
Beliau berharap, ada pihak yang tampil ke hadapan dalam memastikan pemain ragbi OKU negara mendapat kelengkapan yang mencukupi serta berteknologi tinggi untuk bersaing di peringkat dunia.
Hafiq berimpian untuk melihat Malaysia meraih pingat emas dalam acara ragbi di Sukan Paralimpik.
Untuk rekod, Malaysia berada di kedudukan ke-23 untuk ragbi OKU dalam ranking terkini.