Zaman dulu nak kumpul setiap piala bukan senang, pemain terbaik ada di setiap pasukan – Liew Kit Kong

1,845

Bekas pemain kebangsaan, Liew Kit Kong menyifatkan cabaran untuk memenangi kejuaraan ketika zaman beliau aktif adalah sukar kerana setiap kelab mempunyai pemain-pemain terbaik dalam negara.

Katanya, ketika beliau bermain juga, saingan liga lebih kompetitif dan setiap orang berpeluang menjadi juara berbanding dominasi Johor Darul Ta’zim (JDT) pada hari ini.


“Selepas 2013 kita lihat pemain JDT sentiasa mengumpul koleksi piala mereka, berbeza dengan ketika zaman saya nak kumpul setiap piala bukan senang.

Dulu pemain-pemain terbaik dalam negara ada dalam setiap pasukan, semuanya berpecah jadi apabila bertemu ia adalah hidup atau mati,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau mengakui JDT sekarang berada di satu tahap yang berbeza berbanding kelab-kelab tempatan lain.

Katanya, sekiranya setiap pasukan dapat mencontohi apa yang dilakukan oleh JDT, ia pastinya memberi manfaat kepada Liga Malaysia.

“Sekarang JDT dah berada di tahap yang tinggi dan siapa saja yang bermain dengan baik mereka akan bawa ke dalam pasukan.

Jika semua pasukan dapat lakukan seperti mereka baguslah, tetapi ia tidak mudah.”

Sementara itu, beliau menyifatkan E Elavarasan sebagai jurulatih yang paling digemarinya sepanjang karier.

Katanya, beliau kagum dengan kemampuan Elavarasan yang mampu membawa mana-mana pasukan sekalipun dan menunjukkan hasil.

“Jurulatih kegemaran saya pastinya Elavarasan, anda bagi saja mana-mana pasukan atau pemain, pasti beliau boleh cipta sesuatu.

Ketika beliau membimbing Public Bank, (Karl-Heinz) Weigang pun takut dengan pasukan itu walaupun tiada pemain bintang, apabila saya bekerja dengan Elavarasan saya rasa kagum dengan beliau.”

Kit Kong yang kini mempunyai lesen A Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) berkata, beliau mahu menjadi jurulatih di luar negara satu hari nanti.

Katanya, jika dapat membangunkan bola sepak di sesuatu negara, beliau menganggap itu adalah satu pencapaian untuk dirinya.