Pemain KPT-PST Mustangs terlalu hormati lawan senior, perlu perbaiki keyakinan diri – Mohd Faiq Faudzil
Pembantu jurulatih KPT-PST Mustangs, Mohd Faiq Faudzil menegaskan pasukannya masih perlu memperbaiki tahap keyakinan diri menjelang saingan Malaysia Premier Futsal League (MPFL) 18 Februari ini.
Beliau berkata, para pemainnya yang terdiri daripada pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) kadang kala terlalu menghormati pihak lawan menyebabkan mereka tidak yakin kemampuan diri.
“Bila gunakan pemain-pemain muda yang berusia bawah 25 tahun kesemuanya, ada yang terlalu menghormati pihak lawan dan ia mewujudkan satu sekatan dalam diri mereka.
Itu adalah antara perkara yang saya dan jurulatih lain perlu perbaiki tetapi dari segi semangat saya percaya semua melebihi 100 peratus,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Beliau berkata, antara kekangan yang dihadapi mereka dalam mempersiapkan pasukan adalah mengumpul semua pemain kerana sekarang adalah musim peperiksaan di Institut Pengajian Tinggi Awam seluruh negara.
Namun beliau percaya pasukan itu mampu memberi saingan yang hebat kepada pasukan lain dan mencapai sasaran mereka untuk berada di posisi empat teratas kumpulan, sekaligus layak ke kejohanan Piala Futsal Malaysia.
Pemain KPT-PST Mustangs, Irfan Rifqi juga mengakui beliau dan rakan-rakan kadang kala terlalu menghormati pihak lawan dan gugup apabila berdepan pemain-pemain senior.
“Kita kena tingkatkan lagi keyakinan diri semasa perlawanan, semua pemain harus besar hati untuk lawan ‘otai-otai’.
“Saya harap kita mampu ulangi persembahan yang baik musim lalu dalam saingan musim 2023.”
Beliau menyasarkan untuk mencatat tiga mata pada perlawanan pertama menentang Penang minggu depan.
Sementara itu, penjaga gol pasukan, Kenneth melihat para pemain harus meningkatkan lagi tahap kekuatan fizikal menjelang saingan liga.
Katanya, mereka perlu menumpukan menggunakan masa seminggu yang ada ini untuk memperbaiki segala kelemahan.