Terus catat rekod baharu, Azeem Fahmi diletakkan harapan yang tinggi, harap tak jadi bebanan dan ganggu fokus
Pelari pecut muda negara, Muhammad Azeem Fahmi sekali lagi memecahkan rekod baharu kebangsaan dalam acara 60 meter selepas mencatatkan 6.62 saat pada Kejohanan Jemputan Tiger Paw.
Beliau memadam rekod miliknya sendiri iaitu 6.63 saat yang baru sahaja dicatat kira-kira dua minggu lalu.
Peningkatan yang ditunjukkan oleh pelumba berusia 19 tahun itu amatlah memberangsangkan sejak berkelanan ke Universiti Aubirn, Amerika Syarikat, dan dilatih oleh bekas pelari pecut Zimbabwe, Ken Harnden serta di bawah kendalian legenda pecut Amerika Syarikat, Leroy Burell.
Nampak keputusan yang dilakukannya untuk ke situ berbaloi dan tepat selepas rekod demi rekod yang dipecahkan olehnya.
Peminat sukan negara semakin teruja untuk melihat potensi beliau dan sudah meletakkan harapan yang tinggi terhadapnya.
Perkara itu juga turut mendapat perhatian daripada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang berharap Azeem mampu menjadi penyumbang pingat emas pertama negara di Olimpik.
Dengan namanya kini mula menjadi sebutan dan dijadikan sandaran negara dalam pertandingan besar, diharapkan ia tidak menjadi satu beban buatnya yang boleh mengganggu konsentrasinya.
Sudah ramai atlet negara yang tidak dapat mencapai potensi sebenar mereka kerana tekanan yang diberikan oleh peminat.
Di usia yang masih muda, adalah lebih baik sekiranya Azeem diberi ruang untuk menunjukkan peningkatan dengan bimbingan yang betul tanpa diletakkan bebanan yang begitu tinggi.
Baru-baru ini, Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) berkata pihaknya mahu membawa pulang Azeem untuk bertanding di Sukan Sea Kemboja Mei ini.
Namun, Azeem sebelum ini memberi bayangan bahawa beliau kemungkinan besar akan terlepas kejohanan itu bagi memberi fokus kepada kejohanan lebih besar iaitu Kejohanan Dunia dan Sukan Olimpik.
Walaupun beliau merupakan prospek terbaik negara untuk Sukan SEA dalam acara pecut, tetapi beliau pastinya mempunyai perancangan sendiri dibantu oleh jurulatihnya di Universiti Auburn.
Diharapkan Azeem tidak berasa terbeban dengan harapan tinggi yang diletakkan di bahu beliau dan terus menunjukkan peningkatan tanpa tekanan di luar trek.