Walaupun kudrat masih diperlukan, Azmi Muslim sudah buat persediaan jika bersara dari bermain bola sepak

457

Pemain berpengalaman, Azmi Muslim memberitahu beliau kini sudah pun membuat persiapan untuk melebarkan sayapnya dalam dunia bola sepak sekiranya beliau ambil keputusan untuk ‘gantung but’ satu hari nanti.

Menurut Azmi, beliau sudah tahu apa yang akan dilakukannya selepas bersara sebagai pemain bola sepak profesional iaitu menceburi bidang kejurulatihan.


“Perancangan saya sudah semestinya menjadi jurulatih kerana ketika ini saya sudah pun mempunyai Lesen C dan dalam masa terdekat ini saya akan buat Lesen B pula. InsyaAllah jika saya tidak lagi bermain bola sepak nanti pasti saya akan beralih ke bidang kejurulatihan pula,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Biarpun sudah berusia 37 tahun, khidmat Azmi masih lagi diperlukan apabila beliau mengakui menerima beberapa tawaran tetapi akhirnya memilih untuk menyarung jersi PDRM bagi mengharungi saingan Liga Super musim ini.

“Memang ada beberapa tawaran tapi saya mahu menetap di Lembah Klang, oleh sebab itu saya pilih untuk bersama PDRM.”

Azmi berkata walaupun skuad Sang Saka Biru pada musim ini akan menggabungkan barisan pemain berpengalaman dan muda, namun beliau gembira dengan perkembangan positif pasukan apabila mereka semakin serasi.

“Alhamdulillah selepas beberapa perlawanan persahabatan kita dapat lihat peningkatan ketara dari hari ke hari dengan pemain semakin serasi.

Sebagai seorang pemain senior dalam pasukan, saya akan beri yang terbaik termasuk mencurahkan segala pengalaman dan ilmu kepada pemain-pemain muda kerana kita tahu musim ini kita beraksi di Liga Super yang mempunyai kualiti yang cukup tinggi. Jadi saya harap pemain tahu dengan tanggungjawab masing-masing.”

Dalam pada itu, Azmi juga memberitahu bahawa beliau dan rakan sepasukannya sudah pun bersedia untuk mengharungi saingan Liga Malaysia untuk musim ini yang sangat padat sehingga hujung tahun ini.

Untuk saingan musim 2023, pengelola liga iaitu Malaysian Football League (MFL) telah melakukan penstrukturan liga dengan menyaksikan saingan Liga Perdana ditunda untuk musim ini dan Liga Super akan bermain dengan 14 pasukan.

Menariknya saingan liga musim ini ada beberapa perubahan termasuk perlawanan Piala FA dan Piala Malaysia akan turut dimainkan sepanjang kempen saingan Liga Super berlangsung.

“Pemain-pemain semua sudah dalam keadaan bersedia untuk mengharungi saingan yang padat musim ini yang mana perlawanan Piala Malaysia dan Piala FA akan dicampur sekali dalam saingan liga, jadi saya harap pemain sudah dapat ‘adapt’ dengan perubahan baru ini.”

Sementara itu, Azmi juga berkata tidak mustahil untuk PDRM menamatkan saingan liga musim ini di kedudukan pertengahan liga kerana dalam bola sepak tiada apa yang mustahil.

“Setiap pemain tahu apa yang mereka perlu buat jadi bagi saya tak mustahil benda tu boleh berlaku sekiranya pemain dan kualiti pemain import yang kita ada beri aksi terbaik dalam setiap perlawanan.”