Penyokong gesa isu ‘scoreboard’ di Stadium Sultan Muhammad IV diselesaikan segera

523

Liga Super Malaysia musim 2023 kini diwarnai dengan dua pasukan dari Kelantan iaitu Kelantan FC dan Kelantan United FC selepas dinaikkan pangkat ke divisyen utama bola sepak Malaysia.

Ia juga memberi gambaran bahawa kedua-dua pasukan akan menghadapi cabaran yang lebih hebat menentang pasukan gergasi seperti Selangor FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) musim ini.


Dalam usaha merangka persiapan sebelum sepak mula Liga Super pada akhir bulan ini, Kelantan United mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan Imigresen FC yang beraksi di Liga M3 dan menyaksikan mereka berjaya memenangi perlawanan dengan jaringan 2-1 di Stadium Sultan Muhammad IV (SSM IV).

Namun salah satu isu yang menarik perhatian peminat adalah isu papan markah elektronik (scoreboard) yang telah mengalami kerosakan dan tidak diselenggara dengan baik oleh pihak pengurusan stadium.

Seorang penyokong telah membuat satu hantaran di laman Facebook  yang membangkitkan isu kerosakan papan markah elektronik yang sudah terlalu uzur dan mengalami kerosakan  tanpa dibaiki oleh pihak yang bertanggungjawab.

Terdahulu, papan markah elektronik yang dipasang di SSM IV merupakan hasil sumbangan Jabatan Perdana Menteri dalam usaha menaikkan kemajuan sukan di Kelantan bernilai RM2.3 juta.

Namun, papan markah elektronik di stadium tersebut sudah berusia 11 tahun menyebabkan ianya kelihatan daif tanpa sebarang tindakan susulan oleh mana-mana pihak.

Dengan masalah logo dan nama pasukan yang tidak kelihatan dengan jelas ditambah jarum jam tidak berfungsi memperlihatkan penyelengaraan papan markah elektronik tidak dilakukan secara berkala.

Ini juga menjejaskan reputasi pasukan Kelantan dan Kelantan United yang akan menggunakan SSM IV sebagai stadium home untuk saingan Liga Super pada musim ini.

Malah ianya memberi gambaran negatif kepada pasukan dan penyokong pelawat yang hadir ke stadium tersebut untuk perlawanan Liga Super yang akan membuka tirainya pada hujung bulan ini.

Pihak pengurusan stadium perlu mengambil tindakan pantas untuk mengatasi masalah papan markah elektronik sebelum perlawanan pembukaan Kelantan menentang Kuching City FC yang akan berlangsung di stadium tersebut.

Pihak pengurusan perlu bersikap lebih peka dengan keadaan stadium supaya iannya terjaga dan sentiasa diselenggara secara berkala bagi mengelak dari sebarang kejadian tidak diingini berlaku.