Pemenang kasut emas Liga Super masih ‘free agent’, siapa berani ambil dia?

509

Penyerang yang berasal dari Nigeria, Ifedayo Olusegun kini masih tercari-cari kelab yang memerlukan khidmatnya selepas beliau dilepaskan oleh Melaka United FC pada musim 2022.

Pemain yang berusia 32 tahun kini berada di Nigeria dan terdapat beberapa pasukan Liga Super dan luar negara yang berminat untuk mendapatkan khidmat beliau menerusi kenyataan media.


Walaupun terdapat khabar angin yang mengatakan Selangor FC akan mengambil beliau untuk saingan Liga Super 2023, namun belum ada kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh pihak Selangor.

Ifedayo sudah berada di Malaysia sejak tahun 2018 apabila pasukan Felda United FC menandatangani beliau untuk bermain dalam saingan Liga Perdana.

Beliau juga pernah bermain bersama pasukan Selangor dan Melaka United sepanjang karier beliau di dalam Liga Super Malaysia dan sememangnya mempunyai banyak pengalaman di pentas Liga Super selepas berkelana di Malaysia hampir lima musim.

Beliau telah menjaringkan 87 gol selepas 104 perlawanan di dalam semua perlawanan Liga Super, menunjukkan beliau seorang penyerang prolifik yang digeruni oleh pasukan lawan.

Kelibat beliau bersama pasukan Selangor antara momen yang paling indah apabila beliau berjaya meraih anugerah penjaring gol terbanyak Liga Super musim 2020 dan musim 2021 sejak beliau menyarung jersi pasukan Gergasi Merah pada tahun 2019.

Bersama Melaka United, beliau hanya menjaringkan 7 gol daripada 12 perlawanan yang menyaksikan beliau gagal untuk bermain lebih banyak perlawanan akibat isu kewangan yang membelenggu pasukan itu.

Diharap beliau segera mendapatkan pasukan untuk musim 2023 memandangkan sepak mula Liga Super akan bermula kurang daripada dua minggu lagi.

Malah, mana-mana kelab boleh merisik beliau untuk dimasukkan ke dalam skuad utama memandangkan pengalaman dan ketajaman beliau merobek gawang gol lawan pastinya memberi kelebihan untuk pasukan itu pada musim ini.