Berapakah harga jersi JDT yang akan dijual pada musim 2023?

1,221

Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) akan melancarkan jersi terbaru untuk saingan Liga Super 2023 pada 18 Februari 2023 menerusi video ‘teaser’ di Facebook dan Instagram rasmi Johor Southern Tiger.

Bagi peminat dan penyokong JDT, sudah tentu mereka tidak sabar untuk menjadi individu terawal yang memiliki jersi kerana ianya menjadi simbol kebanggaan untuk setiap penyokong setiap kali berkunjung ke stadium untuk menyaksikan pasukan mereka beraksi.


Malah, jersi JDT yang ditaja dan direka khas oleh syarikat gergasi Nike yang berpangkalan di Amerika Syarikat menjadikan kain jersi lebih berkualiti dan bermutu tinggi.

Namun, harga jersi yang mahal menjadi salah satu faktor mengapa sesetengah penyokong JDT tidak mampu membeli jersi original.

Untuk makluman, senarai jersi untuk pasukan yang bermain di Liga Super hanya berada di dalam lingkungan RM79 sehingga RM200 untuk sehelai jersi (fans issue & player issue).

Manakala, senarai harga jersi JDT untuk musim 2022 berharga RM299 sehelai untuk saiz dewasa manakala untuk saiz kanak-kanak berharga RM235 sehelai untuk kualiti fans issue, manakala untuk player issue pula sehelai jersi berharga lebih RM500, sekaligus menjadikan jersi kelab bola sepak yang paling mahal di Liga Super.

Sekiranya peminat mempunyai pendapatan yang kukuh, ianya tidak menjadi masalah untuk membeli jersi JDT yang original dalam usaha membantu kelab dari segi kewangan.

Tetapi untuk peminat yang mempunyai sumber kewangan yang terhad perlu menyimpan duit terlebih dahulu dan menunggu masa yang lebih lama supaya boleh membeli jersi yang original.

Antara inisiatif yang boleh digunakan adalah mengurangkan harga jersi adalah memberikan diskaun kepada peminat JDT yang ingin mendapatkan jersi baru untuk musim 2023.

Sebagai contoh, jersi pasukan Harimau Malaya yang ditaja oleh Nike dijual pada harga asal bernilai RM299 kini diturunkan sebanyak 40% dan dijual pada harga RM179 untuk memastikan peminat dapat membeli dan memakai jersi original dengan harga yang berpatutan.

Diharap pihak pengurusan JDT dapat memikirkan tentang harga jersi yang akan dilancarkan tidak lama lagi kerana penyokong juga pastinya ingin memiliki jersi original sebagai sokongan mereka terhadap kelab yang mereka cintai.

Dengan pelancaran jersi baharu, rekaan akan menjadi perhatian memandangkan JDT pasti mempunyai identiti tersendiri supaya kelihatan unik dan seterusnya menjadi kebanggaan penyokong JDT di seluruh Malaysia.