Ada tawaran dari kelab lain tapi saya pilih untuk kekal bersama PDRM FC – Nabil Latpi

276

Pemain penyerang PDRM FC, Nabil Latpi mendedahkan beliau menerima tawaran daripada beberapa kelab untuk musim ini, namun beliau memilih untuk kekal di Lembah Klang kerana mahu terus menabur bakti bersama kelabnya.

“Untuk tahun ini memang ada pasukan yang bagi tawaran tapi saya ambil keputusan untuk terus kekal bersama PDRM musim ini kerana lebih selesa di sini dan nak buat balik serta perbaiki segala kelemahan musim lalu,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Menurut Nabil, walaupun pasukannya bukan pasukan besar seperti pasukan lain yang mempunyai bajet besar, namun semangat berpasukan yang kuat akan menjadi senjata utama mereka pada musim ini.


Dalam pada itu, Nabil yang berkata usia tidak akan menjejaskan prestasinya walaupun beliau kini sudah mencecah 31 tahun.

“InsyaAllah saya masih mampu beraksi dengan baik musim ini. Apa yang penting adalah untuk menjaga makan dan rehat secukupnya serta ikut segala arahan yang diberikan oleh ketua jurulatih.”

Beliau pada masa sama turut memasang impian untuk menyarung jersi Harimau Malaya satu hari nanti jika mendapat peluang tersebut.

Sementara itu, dengan persiapan rapi yang dilakukan pasukannya untuk musim ini, Nabil harap PDRM mampu merangkul sekurang-kurangnya satu piala pada musim ini.