Uche Agba akui masih belum dapat sebarang perkembangan dari pihak pengurusan Sarawak United FC

405

Bekas pemain import Sarawak United FC, Uche Agba mendedahkan bahawa beliau masih belum menerima sebarang perkembangan mengenai status tunggakan gaji pemain walaupun sebelum ini terdapat laporan yang mengatakan tunggakan itu akan dilangsaikan menjelang Mac depan.

“Sejujurnya buat masa ini saya masih belum dapat sebarang perkembangan terbaru daripada pihak pengurusan Sarawak United,”

katanya ringkas kepada Harimau Malaya.

Sarawak United berdepan tunggakan gaji hampir RM1 juta dan Presiden kelab itu Datuk Posa Majais telah memberitahu bahawa peruntukan kewangan telah diluluskan.


Disebalik masalah gaji, Uche memuji pihak pengurusan pasukan yang memberi sokongan walaupun berdepan pelbagai kekangan.

“Mereka bersikap baik dengan kami dari pelbagai aspek walaupun berdepan pelbagai kekangan. Saya harap pihak berkuasa dapat membantu kami menyelesaikan masalah ini.”

Dalam pada itu, untuk musim 2023 pemain berasal dari Nigeria itu masih kekal di Liga Super apabila kembali ke pangkuan PDRM FC walaupun mendapat tawaran dari kelab luar negara.

“Walaupun berdepan masalah musim lalu, tapi saya pilih untuk kekal di Malaysia kerana sudah selesa dan percaya saya mampu menyumbang lagi. Kewangan stabil PDRM juga menjadi salah satu faktor mengapa saya setuju untuk bersama kelab ini di saat akhir.”

Uche yang baru menyertai pasukan beberapa minggu lalu mengakui perlu bekerja dengan lebih keras lagi untuk lebih serasi bersama rakan sepasukan lain.

Beliau bagaimanapun berkata hubungannya dengan rakan sepasukan juga semakin baik dan ke arah positif.

Walaupun skuad Sang Saka Biru pada musim ini menampilkan ramai pemain baru, namun Uche tidak melihat perkara itu sebagai masalah kerana baginya.

Sementara itu, mengulas lanjut mengenai penstrukturan Liga Super musim ini dengan pertambahan pasukan, Uche berkata setiap pasukan kini perlu memastikan setiap pemain berada dalam keadaan bersiap sedia untuk diturunkan berikutan akan mengharungi lebih banyak perlawanan.

“Sasaran saya pada musim ini adalah untuk memastikan kami berjaya capai sasaran yang ditetapkan oleh pihak pengurusan dan sasaran peribadi saya pula mahu menjaringkan gol sebanyak yang mungkin.”