Pengalaman dan kemahiran KJ akan bantu perkasakan pembangunan bola sepak akar umbi JDT
Teka-teki mengenai masa depan Khairy Jamaluddin (KJ) bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) akhirnya terjawab selepas Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Idris melantik beliau sebagai Penasihat Belia Johor dan sebahagian Lembaga Pengarah Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim berkuatkuasa hari ini.
Pengumuman TMJ mengenai perlantikan KJ dihebahkan menerusi sosial media rasmi JDT pada tengah hari tadi.
Saya telah bertemu Khairy Jamaluddin & bersetuju untuk melantik beliau sebagai Penasihat Belia Johor & sebahagian Lembaga Pengarah JDT.
— HRH Crown Prince of Johor (@HRHJohorII) February 15, 2023
Pengalaman luas beliau dalam pelbagai bidang di negara ini akan memberikan nilai tambah kepada pembangunan belia & kemajuan bola sepak Johor. pic.twitter.com/S476jwWNQl
Perlantikan KJ ke dalam kelab JDT pastinya membawa perubahan yang lebih signifikan kepada pasukan Harimau Selatan memandangkan kelab tersebut sentiasa maju ke hadapan dan sentiasa memperbaiki kelemahan untuk menjadi salah satu pasukan bola sepak terkuat Asia.
Bekas ahli parlimen Rembau itu mempunyai banyak pengalaman dan memegang beberapa jawatan yang berprofil tinggi walaupun masih berusia 47 tahun.
Penglibatan KJ di dalam dunia bola sepak bermula apabila beliau bersama seorang DJ, Jason Lo mengasaskan program realiti TV berjudul MyTeam pada tahun 2006 dan 2007.
Seterusnya, beliau dilantik sebagai Naib Presiden Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan berkhidmat selama 3 tahun dari 2007 sehingga 2010.
Beliau akhirnya dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan selepas berjaya mempertahankan kedudukan beliau di Rembau dan mendapat kepercayaan bekas Perdana Menteri, Mohd Najib Razak untuk berada di dalam Kabinet Kerajaan Persekutuan.
Antara sumbangan beliau adalah menjadi pencetus idea bersama Datuk Lim Teong Kim untuk mewujudkan Program Pembangunan Bola Sepak Negara Malaysia (NFDP), dimana program tersebut ditubuhkan untuk menjadi platform pembangunan remaja dalam usaha memperkasa bola sepak Malaysia seawal 13 tahun.
Luqman Hakim Shamsudin dan Arif Aiman Hanapi antara produk yang berjaya dihasilkan oleh NFDP dan pastinya lebih ramai pemain bintang dalam pembikinan akan dihasilkan untuk kejayaan skuad Malaysia pada masa akan datang.
Dengan kedudukan KJ sebagai Penasihat Belia Johor, pastinya khidmat beliau ditagih untuk memastikan pembangunan pemain remaja di JDT akan bertambah baik.
Malah, Penglibatan KJ di dalam keluarga JDT akan memberi nafas baru untuk mencungkil bakat muda seterusnya melahirkan bintang dalam pembikinan untuk terus membawa kejayaan buat pasukan JDT dan Harimau Malaya.