Jangan panik! Kekalahan di Turki bukan ukuran kekuatan sebenar KDA FC

656

Pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) telah menamatkan siri jelajah perlawanan persahabatan pra-musim mereka di Turki dengan mereka tewas dalam keempat-empat perlawanan tersebut.

Disebalik kekalahan tersebut, pasukan KDA telah meraih pengalaman yang cukup berharga apabila pasukan memperlihatkan peningkatan dari segi permainan untuk dibawa pulang menjelang saingan Liga Super tidak lama lagi.


Antara perkara positif yang boleh dilihat pada pra-musim adalah peningkatakan ketara pemain muda Heshamudin Ahmad yang bermain di posisi pertahanan kiri.

Umum sedia maklum skuad Sang Kenari sejak beberapa musim lalu ‘tempang’ di posisi tersebut dan kehadiran Heshamudin telah memberi kelegaan apabila beliau mempamerkan aksi yang cukup menyakinkan.

Musim lalu beliau telah membuat penampilan sebanyak 12 kali untuk semua kejohanan (Liga Super, Piala Malaysia, Piala FA dan Piala AFC) dengan mencatat jumlah minit permainan sebanyak 677 minit.

Walaupun beliau jarang diturunkan pada musim lalu oleh Aidil Sharin Sahak, namun sejak Nafuzi Zain mengambil alih tugas sebagai pengendali baru pemain berusia 24 tahun itu mula mendapat perhatian dan beliau berjaya menggalas tanggungjawabnya di posisi pertahanan kiri (kadang kala posisi kanan) dengan baik sekali.

Tidak mustahil untuk melihat Heshamudin menjadi pemain muda yang berpotensi besar kerana Nafuzi sememangnya terkenal dalam membangunkan bakat-bakat muda.

Seorang lagi pemain yang memperlihatkan prestasi terbaik adalah penjaga gol muda kebangsaan, Kalamullah Al-Hafiz yang mempamerkan aksi cukup positif setiap kali diturunkan.

Dengan prestasi cemerlangnya sepanjang pra-musim, tidak mustahil untuk melihat beliau menjadi penjaga gol nombor satu KDA musim ini.

Malah beliau merupakan bekas penjaga gol utama PJ City FC yang beraksi bersama kelab itu sebanyak empat musim dan telah membuat sebanyak 54 penampilan.

Antara pemain yang boleh diberikan perhatian adalah dua pemain import yang menjadi tunjang utama buat benteng pertahanan skuad Hijau Kuning iaitu Bojan Ciger dan Alan Robertson.

Kedatangan kedua-dua pemain import ini mampu mengatasi masalah kerapuhan benteng pertahanan selepas mereka menjadi salah satu dari lima pasukan Liga Super yang paling banyak dibolosi dengan 41 gol bolos selepas 22 perlawanan pada musim lepas.

Willian Lira, Manuel Ott, Alan Robertson dan Amerbek Dzhuraboev antara import yang paling menyerlah dengan tiga penampilan kesebelasan utama selepas 4 perlawanan.

Manakala Heshamudin, Kamil Akmal dan Fayadh Zulkifli diberi peluang untuk membuktikan mereka layak berada di dalam kesebelasan utama dengan tiga penampilan selepas empat perlawanan.

Selepas jelajah pra-musim tamat, pastinya Nafuzi sudah dapat bayangan pemain untuk membarisi kesebelasan utama untuk saingan Liga Super yang akan bermula pada 24 Februari ini.

Manakala penyokong pula tidak sepatutnya panik tetapi bersabar dan optimis termasuk perlu beri masa kepada Nafuzi untuk membentuk sebuah skuad yang ampuh kerana untuk musim ini KDA menggunakan ramai pemain baru.

Sebagai penyokong, tugas anda adalah untuk memastikan pasukan kesayangan anda mendapat sokongan padu setiap kali mereka turun beraksi.

KDA akan membuka tirai liga pada 25 Februari ini di Stadium Ipoh menentang Perak FC.