FAM akan jelaskan keputusan tidak sertai Sukan Asia – E Elavarasan

790

Ketua jurulatih B-23 kebangsaan, E Elavarasan mengakui beliau masih tiada masa untuk berjumpa dengan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin bagi membincangkan mengenai keputusan badan induk itu tidak menghantar pasukan pada Sukan Asia.

Menurutnya, satu sidang media akan diadakan oleh FAM pada minggu hadapan untuk menjelaskan lebih lanjut mengenai perkara itu.


“Kita ada sidang media minggu depan jadi mungkin FAM boleh terangkan mengenai perkara itu, mereka akan terangkan apa hala tuju kita.

“Buat masa ini saya hanya tumpukan perhatian kepada sesi latihan,”

katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi latihan skuad B-23 kebangsaan di Wisma FAM, Kelana Jaya sebentar tadi.

Menurut Elavarasan, fokus utama beliau untuk sesi latihan ini adalah supaya semua pemain faham dan menyesuaikan diri dengan modul permainan yang ditetapkan oleh FAM.

Beliau berkata walaupun liga masih belum bermula, mereka memilih para pemain berdasarkan perlawanan persahabatan pramusim.

“Dalam kem latihan ini kita ada 21 pemain baharu yang kita lihat prestasi mereka dalam perlawanan persahabatan.

Panggilan ini pastinya memberi semangat kepada semua pemain yang mewakili kelab masing-masing kerana dapat mewakili negara.”

Dalam pada itu, beliau berkata bahawa keutamaan adalah kepada skuad utama, bermakna sekiranya terdapat pemain yang mewakili kedua-dua pasukan senior dan B-23, pemain tersebut akan diberikan keutamaan kepada pasukan senior.