Saya ketepikan masalah jantung kerana mahu main untuk negara – Faiz Amer

591

Pemain skuad B-23 kebangsaan, Muhammad Faiz Amer sanggup menangguh mendapatkan rawatan jantung demi bermain untuk negara.

Menurutnya, beliau mengetahui mempunyai masalah jantung ketika pemeriksaan kesihatan awal tahun lalu tetapi tidak mendapatkan rawatan serta merta untuk mewakili negara di beberapa kejohanan.


“Awal tahun 2022 saya pergi jalani pemeriksaan kesihatan dan tahu mengenai masalah jantung tersebut, tetapi ia tidak mematahkan semangat saya untuk bermain.

Saya terus main di kejohanan Sukan SEA, Piala AFF B-19 dan Piala Asia B-23, kemudian baru buat prosedur rawatan, saya diamkan benda ini demi bermain untuk negara,”

katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sesi latihan skuad B-23 negara di Wisma FAM sebentar tadi.

Menurutnya, selepas menjalani prosedur kesihatan, beliau kini sihat seperti biasa dan boleh bermain tanpa ada halangan.

Beliau berkata, kejayaan kapten Selangor, Brendan Gan melawan kanser memberi inspirasi buatnya untuk terus kuat.

“Sudah tentu beliau merupakan satu inspirasi buat saya, kerana dia kapten saya di Selangor jadi saya lihat beliau sebagai idola.”

Dalam pada itu, beliau bertekad mahu membuktikan kemampuannya kepada jurulatih untuk dipanggil menyertai kejohanan.

Katanya, setakat ini para pemian masih bergelut untuk memahami latihan yang diterapkan kerana baru berlatih untuk sehari tetapi percaya mampu menyesuaikan diri dengan segera.