MFL hormat permintaan penaja untuk tidak dedahkan nilai tajaan
Saingan Liga Malaysia menjadi semakin rancak pada musim ini terutamanya apabila Malaysian Football League (MFL) melakukan penstrukturan liga yang akan menyaksikan penambahan pasukan untuk saingan Liga Super.
Lebih menarik lagi, saingan Liga Super pada musim ini juga telah memperlihatkan MFL telah mendapat penyiar rasmi baru yang akan bersama mereka selama tiga musim dan pastinya akan menaikkan lagi nilai pasaran liga tempatan.
Dengan perkembangan positif ini pastinya banyak pihak yang mahu berkolaborasi bersama MFL dan ini dapat dilihat menerusi beberapa pengumuman rakan penaja untuk musim 2023.
Walaupun ramai yang gembira dengan berita tersebut, namun ada segelintir pihak yang mempersoalkan tindakan MFL yang tidak mendedahkan jumlah nilai tajaan yang diterima seperti yang dilakukan pada musim lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Stuart Ramalingam berkata keputusan untuk tidak mendedahkan jumlah nilai tajaan adalah bagi menghormati permintaan pihak penaja yang enggan berbuat demikian.
“Itu keputusan korporat daripada pihak MFL dan kita juga sudah maklumkan kepada CEO-CEO pasukan yang merupakan pemegang taruh. Bagi pihak korporat pula, pemberitahuan nilai jumlah tajaan kadang-kala adalah sensitiviti dalaman.
Ini kerana korporat yang memberi bayaran kepada MFL dan bukannya MFL, jadi kita akan ikut kehendak mereka,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Tambahnya lagi, pihaknya tiada pendekatan boleh atau tidak boleh tetapi daripada pihak korporat sendiri perlu mengambil keputusan tersebut samada mahu mendedahkan atau tidak.
Dalam pada itu, Stuart turut meluahkan keyakinannya terhadap pasukan-pasukan yang bersaing pada musim ini dan berharap tiada lagi masalah tunggakan gaji akan berlaku pada musim ini.
Beliau berkata demikian selepas memaklumkan jumlah isu tunggakan gaji sejak beliau mengambil alih tampuk kepimpinan MFL pada tahun 2018 sudah semakin berkurang.
“Sejak saya sertai FAM dari tahun 2018 kita ada 232 kes pada masa itu dan sekarang ini kita hanya ada sekitar sembilan hingga 13 sahaja kes aktif. Oleh itu, usaha untuk mengurangkan jumlah kes-kes tunggakan gaji berjaya kita laksanakan.
Selain dari itu, kita juga lakukan beberapa keputusan penting tahun lepas di mana kita tidak keluarkan Lesen Kebangsaan kepada Sarawak United FC dan Melaka United FC atas sebab-sebab ini juga.
Jelas, pendekatan FAM dan MFL adalah untuk kita hentikan stigma bola sepak Malaysia dengan tunggakan sering berlaku.”
Sementara itu, Stuart juga berkata pihaknya tiada kuasa untuk mengambil tindakan selanjutnya kepada Sarawak United dan Melaka United selepas kedua-dua pasukan ini menyertai Liga M3 pada musim ini kerana ia dibawah bidang kuasa AFL (Amateur Football League).
Ini kerana pihak MFL sudah pun membuat tindakan dengan tidak memberi Lesen Kebangsaan untuk kedua-dua pasukan ini beraksi dalam sebarang saingan dibawah kelolaan MFL.
Terdahulu, Sarawak United telah disahkan akan beraksi dalam saingan Liga M3 selepas permohonan mereka diterima oleh AFL.
Manakala Melaka United pula tidak akan menyertai liga semi-profesional itu sebaliknya Melaka FC yang baru ditubuhkan akan bermain di Liga M3 musim ini.
Walaupun pelbagai persoalan bagaimana Melaka dibenarkan beraksi sedangkan mereka berdepan tunggakan gaji, namun pihak AFL telah menjelaskan bahawa Melaka FC dan Melaka United adalah dua entiti yang berbeza.