Gaya permainan saya sedikit sama dengan Nafuzi, bergantung kepada kualiti pemain untuk laksanakannya – Tomislav Steinbruckner
Ketua jurulatih Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner menyifatkan gaya permainan yang diterapkan olehnya mempunyai sedikit persamaan dengan bekas ketua jurulatih kelab itu, Nafuzi Zain.
Menurutnya, beliau gemar penguasaan bola dalam permainan, tetapi turut mencampurkan beberapa taktikal lain dalam sistem yang diterapkannya.
“Gaya permainan saya ada sedikit persamaan dengan Nafuzi, saya sukakan penguasaan bola kerana kami mahu menembusi pihak lawan dari dalam.
Tetapi ia bukanlah segala-galanya, apa yang saya boleh katakan adalah ia gabungan antara penguasaan bola, serangan balas dan high pressing,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Menurut Steinbruckner, ia juga bergantung kepada kualiti pemain yang ada dalam pasukan untuk menterjemahkan gaya permainan yang dimahukan di atas padang.
Beliau mengakui tidak mudah untuk menyediakan pasukan daripada mula dengan hampir separuh daripada skuad dibarisi muka-muka baharu.
Dalam pada itu, beliau sedar mengenai jangkaan tinggi yang diletakkan oleh pihak pengurusan serta penyokong ke atas dirinya selepas pasukan itu melalui musim yang amat baik tahun lalu.
“Pihak pengurusan tak perlu beritahu kepada saya mengenai sasaran untuk pasukan ini kerana saya sendiri tahu Terengganu sentiasa ada sasaran yang tinggi dan mahu bersaing di peringkat teratas.
Kami juga ada penyokong yang hebat di sini, mereka sering ikut kami ke mana saja ketika bertandang ke gelanggang lawan, ia bagus untuk pasukan dan para pemain kerana membuatkan mereka perlu tunjukkan prestasi maksimum dalam setiap perlawanan.”
Mengenai persiapan menjelang perlawanan Piala Sumbangsih menentang juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) Sabtu depan, beliau mengakui bahawa beliau bimbang dengan keadaan pemain tengah, Habib Haroon yang cedera akibat masalah hamstring.
Menurutnya, pemain itu mungkin terpaksa diketepikan selama dua atau tiga minggu bergantung kepada nasihat doktor.
Steinbruckner sedar akan kualiti yang dimiliki JDT tetapi berharap mereka boleh memberi saingan yang hebat kepada mereka.