Razman Roslan harap Liga Super 2023 bebas dari isu tunggakan gaji kerana ia merencatkan kemeriahan liga

295

Timbalan Presiden Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM), Razman Roslan berharap agar saingan Liga Super pada musim ini akan bebas dari sebarang isu tunggakan gaji.

Menurut Razman, dengan penstrukturan liga yang dilakukan oleh Malaysian Football League (MFL), saingan liga tampak lebih menarik jadi jika masalah sama terus berulang ia akan merencatkan kemeriahan liga.


“Kalau kita lihat tahun 2023 kemeriahan itu lebih sikit dengan pengumuman penyiar rasmi baru dan peminat-peminat juga teruja menanti saingan bermula.

Jadi harapan saya kita tidak mahu melihat apa-apa masalah dari segi kewangan sebab perkara itu bagi saya merencatkan ‘kecantikan’ liga,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Dalam pada itu, beliau yang juga merupakan bekas pemain Melaka United FC tidak dapat memberi komen lanjut berhubung kes tunggakan gaji membabitkan Melaka United dan Sarawak United FC kerana kes tersebut sedang dikendalikan oleh PFAM untuk tindakan.

“Setahu saya kita masih menunggu PFAM untuk menjalankan apa yang sepatutnya kerana mereka ada prosedur mereka. Macam saya tidak boleh keluarkan sebarang kenyataan.

Kita akan lihat apa yang sebaiknya atau apa yang pihak peguam fikir terbaik, pemain Melaka United akan ikut. Untuk Sarawak United saya rasa tak jauh beza, jadi apa-apa kita tunggu perkembangan terkini daripada pihak PFAM.”

Terdahulu, Razman telah diumum sebagai salah seorang pundit dalam program bola sepak yang akan bersiaran sepanjang saingan Liga Malaysia musim ini.

Sementara itu, beliau juga melihat liga tempatan kini menunjukkan peningkatan yang cukup positif.

“Secara peribadi saya melihat sedikit sebanyak ada peningkatan. Daripada segi FAM dan MFL juga menaik taraf dengan memberikan nilai lebih tinggi kepada Liga Malaysia. Akan datang saya nampak ia akan lebih komersial dengan adanya Astro sebagai penyiar rasmi.”

Tambahnya lagi, beliau juga melihat ketika ini semakin ramai peminat bola sepak yang sudah mula mengikuti rapat perkembangan liga tempatan, dan perkara ini adalah sesuatu yang cukup positif.