MPL Malaysia musim ke-11 akan merevolusikan e-sports Malaysia

243

Musim baru Mobile Legends: Bang Bang Profesional League Malaysia (MPL Malaysia) kembali dengan tema baru iaitu #REVOLUXI yang akan menyaksikan beberapa perubahan baru akan dilakukan.

Ketua Pemasaran dan Pembangunan Perniagaan MPL Malaysia, Fikri Rizal Mahruddin berkata perubahan yang akan dilakukan adalah bagi meningkatkan kualiti e-sports negara setaraf dengan negara-negara jiran.


“Kita buat tema #REVOLUXI memang kita nak revolusi e-sports di dalam Malaysia dengan kita tukar format kepada dua kumpulan dari lapan kepada enam minggu, 45 perlawanan.

Disebabkan penukaran format ini, perlawanan play-off juga akan berlaku perubahan format di mana pasukan nombor satu dan dua akan layak ke separuh akhir, tempat ketiga dan keempat akan bermain di suku akhir, manakala tempat ke lima, enam, tujuh dan lapan akan bermain dekat play-in.

Jadi ini akan membuatkan setiap pasukan dan perlawanan lebih penting bagi memastikan tempat mereka ada,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tambahnya lagi, tempat pertandingan juga akan berlangsung di lokasi berbeza yang lebih besar iaitu di Stadium Juara di mana ia akan membuka tirainya dari 10 Mac hingga ke 16 April.

Manakala perlawanan play-off pula bermula dari 27 April hingga 30 April.

Untuk musim ke-11 ini sebanyak 10 pasukan akan berentap merebut kejuaraan iaitu Team HAQ, TODAK, Team SMG, RSG Slate MY, Red Esports, Team Lunatix, Homebois, Red Giants Esports, Madness Gaming dan Team Secret.

Dalam pada itu, Fikri juga memberitahu bahawa mereka akan mengekalkan jumlah wang kemenangan sama seperti musim lalu.

“Untuk prize pool kali ini kita akan kekalkan sama seperti musim lalu sebanyak $100,000 (sekitar RM443,000) yang akan dibahagikan kepada kesemua pasukan yang bertanding.”

Sementara itu, selain merebut gelaran sebagai juara MPL Malaysia musim ke-11, setiap pasukan juga berpeluang untuk melayakkan diri ke Mobile Legends: Bang Bang Southeast Asia Cup 2023.