Kita lihat Croatia berjaya ke separuh akhir Piala Dunia, kita guna Tomislav untuk dapatkan aura sama – Ab Rasid Jusoh

389

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Terengganu FC, Ab Rasid Jusoh mengakui bahawa prestasi yang ditunjukkan oleh Croatia pada kejohanan Piala Dunia merupakan antara punca mereka melantik Tomislav Steinbruckner sebagai ketua jurulatih pasukan itu musim ini.

Beliau berkata, jurulatih berusia 57 tahun itu merupakan individu yang sesuai mengambil alih jawatan tersebut daripada Nafuzi Zain kerana telah menunjukkan kemahirannya ketika menjawat jawatan pengarah teknikal kelab musim lalu.


“Jika kita lihat Croatia tahun lalu layak ke separuh akhir Piala Dunia, jadi kita gunakan khidmat jurulatih dari sana berdasarkan aura yang ada pada negara itu.

Beliau juga memenuhi syarat kelayakan yang kami cari, ketika beliau jadi Pengarah Teknikal musim lalu pun kita dapat lihat beliau berjaya memperbaiki pasukan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Menurut Ab Rasid, beliau yakin dengan kombinasi pemain-pemain lama daripada skuad musim lalu dan barisan pemain baharu yang dibawa masuk musim ini mereka akan menunjukkan persembahan yang lebih mantap.

Beliau mengakui masih ada perkara yang perlu diperbaiki pada bagi mencapai indeks prestasi utama (KPI) yang diletakkan.

Katanya, sasaran yang diletakkan adalah supaya pasukan dapat berada di kedudukan yang lebih baik dalam setiap kejohanan yang disertai pada musim ini berbanding musim lalu.

“Contohnya pada musim lalu kita layak ke separuh akhir Piala Malaysia, jadi musim ini sekurang-kurangnya haruslah layak ke perlawanan akhir pula.

Untuk sasaran ini kita sudah adakan perbincangan antara pihak pengurusan dan kejurulatihan untuk menetapkan sasaran yang sesuai, semuanya sudah dipersetujui jadi saya lihat tiada tekanan buat barisan kejurulatihan untuk mencapainya.”

Sementara itu, mengenai isu kontrak yang berlaku antara kelab itu dengan bekas ketua jurulatih, Nafuzi Zain serta bekas pemain sayap Faisal Halim musim lalu, Rasid berkata pihaknya tidak menghebahkan perkara itu walaupun berlaku pelanggaran kod etika kelab supaya tidak mengganggu fokus pasukan.

Katanya, ia terpulang kepada orang luar untuk menilai sama ada tindakan yang dilakukan oleh pihak pengurusan adalah wajar atau tidak.