FAM dah beri surat sokongan proses naturalisasi, sekarang hanya tunggu kelulusan KDN – Argzim Redzovic

1,128

Pemain Terengganu FC, Argzim Redzovic mendedahkan bahawa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sudah memberi surat sokongan untuk membolehkan dirinya dinaturalisasikan sebagai pemain tempatan.

Menurutnya, beliau kini hanya perlu melalui proses terakhir iaitu mendapat kelulusan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebelum bergelar rakyat Malaysia.


“Saya telah berada di sini lima tahun, telah berkahwin dengan warga tempatan dan mempunyai anak berwarganegara Malaysia, saya juga telah dapat surat daripada FAM yang menyatakan sokongan mereka.

Saya juga difahamkan pihak Terengganu sedang memastikan proses itu berlaku, saya tak pasti berapa lama lagi, itu semua bergantung kepada pihak KDN,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Menurutnya, beliau begitu teruja untuk bergelar warganegara Malaysia kerana sudah menganggap negara ini sebagai tanah airnya sendiri.

Pemain kelahiran Montenegro itu berkata, sekiranya mempunyai rezeki, beliau juga mahu menyarung jersi Harimau Malaya satu hari nanti.

Tambahnya, rakan sepasukan baharunya, Liridon Krasniqi ada berkongsi pengalaman bermain untuk Malaysia bersamanya, membuatkannya teruja untuk turut mewakili Malaysia.

“Liridon ada beritahu saya bahawa bermain untuk Malaysia adalah satu perasaan yang amat menakjubkan, walaupun beliau berasal dari Kosovo.

Jika bermain untuk Malaysia satu negara akan sokong anda, tetapi saya tahu ia tidak mudah kerana tekanan amat tinggi, jika anda bermain dengan baik orang akan sanjung anda tetaapi jika anda tidak bermain dengan baik dalam satu perlawanan, habislah anda.”

Selain daripada dirinya, beliau juga berkata bahawa dua pemain KL City FC, Paulo Josue dan Romel Morales, serta pemain Johor Darul Ta’zim, Endrick dos Santos juga sedang melengkapkan proses naturalisasi mereka.

Beliau melihat pengambilan pemain-pemain naturalisasi adalah sesatu yang baik dan boleh meningkatkan lagi tahap bola sepak di negara ini.

“Kita lihat Lee Tuck dan Aguero bermain dengan baik untuk Malaysia sebelum ini jadi ini memberi manfaat kepada pasukan kebangsaan.

Saya lihat ini bagus dalam memperkuatkan lagi Harimau Malaya dalam menghadapi Piala Asia tahun depan.”

Beliau berharap supaya dapat bermain dengan lebih banyak pada tahun ini untuk menunjukkan kemampuannya kepada ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon.

Untuk rekod, Argzim mula bermain di Malaysia pada tahun 2018 bersama PDRM FC.

Beliau telah berkahwin dengan seorang wanita tempatan, Nurrafiana Azman pada Ogos 2019 dan dikurniakan seorang cahaya mata.