Di Malaysia Terengganu FC adalah pasukan yang paling hampir dengan JDT – Argzim Redzovic

600

Pemain Terengganu FC, Argzim Redzovic merasakan bahawa kelab itu merupakan pasukan tempatan yang paling hampir dengan tahap Johor Darul Ta’zim (JDT).

Beliau mengakui bahawa JDT sudah berada di tahap yang tersendiri, tetapi berharap Terengganu dapat memberi saingan yang lebih sengit kepada penyandang juara liga itu pada musim ini berbanding musim lalu.


“Jika kita lihat musim lalu kami kalah tidak terlalu besar dengan JDT, saya lihat di dalam Malaysia kami berada di belakang JDT.

Tahun ini saya harap Terengganu boleh beri saingan lebih sengit kepada mereka dan cipta kejutan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau berharap supaya penyokong bersabar untuk melihat hasil kerana Terengganu pada musim ini dibimbing oleh ketua jurulatih baharu, Tomislav Steinbruckner dan dibarisi ramai muka-muka baharu.

Beliau menjangkakan tahun ini akan menjadi tahun yang lebih mencabar untuk Terengganu kerana bakal bermain dalam saingan Piala AFC serta dengan pertambahan kuota import.

“Saya lihat bola sepak Malaysia sudah semakin meningkat berbanding ketika saya tiba di sini pada tahun 2018

Dari segi taktikal lebih baik, saya rasa sudah boleh dibandingkan dengan Liga Thailand.”

Beliau mengakui tidak mudah untuknya merebut tempat dalam pasukan pada musim ini, lebih-lebih lagi dengan pertambahan kuota import.

Walaubagaimanapun, beliau bertekad mahu merebut tempatnya dalam pasukan setelah hanya membuat dua penampilan dalam liga pada musim lalu.